KUALA TERENGGANU - Seorang pejalan kaki berdepan detik cemas selepas dilanggar sebuah lori ketika melintas jalan di persimpangan lampu isyarat Manir, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 42 tahun itu bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan pada bahagian paha.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dan mangsa yang sedang menuntun basikal.
“Difahamkan pemandu lori dalam perjalanan dari Padang Nenas menuju ke Bukit Payong, Marang, manakala pejalan kaki berkenaan dari rumahnya di Kampung Manir hendak ke sebuah kedai makan berdekatan.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori berhenti ketika lampu isyarat merah. Sebaik lampu bertukar hijau dia meneruskan perjalanan sebelum secara tiba-tiba mangsa melintas dari bahu jalan sebelah kiri arah lori dan masuk ke laluannya.
"Pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa dan segera memberhentikan kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa cedera pada paha kanan akibat digilis lori berkenaan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Rule 41 LN 166/59.
Pada Sabtu tular di media sosial rakaman kemalangan berkenaan yang memaparkan mangsa menuntun basikal sebelum digilis sebuah lori.
-ENDS-