KUALA LUMPUR – Semakin ramai dalam kalangan masyarakat bukan Islam kini mula mencari jawapan tentang keteguhan dan kekuatan rakyat Palestin dengan merujuk kepada al-Quran, mencetuskan fenomena baharu yang membuka ruang pemahaman lebih luas terhadap ajaran Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat sendiri ketika beliau menghadiri program berkaitan al-Quran di luar negara yang dihadiri ribuan peserta dari pelbagai latar belakang kira-kira dua tahun lalu.
“Mereka datang beramai-ramai, saya rasa tidak kurang daripada 10,000 orang berhimpun hanya untuk bercakap dan berbincang mengenai al-Quran.
“Sebagai contoh, di Eropah, Islam sedang dibelek seluas-luasnya; semua mula mencari al-Quran untuk melihat keajaibannya dan kaitannya dengan penduduk Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sesi Perkongsian: Economi Sumud sempena World #QuranConvention (WQC) 2025 yang berlangsung di Perdana Hall, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Ahad.
Menurutnya, semakin ramai individu bukan Islam mula membaca al-Quran dan akhirnya menemui jawapan serta keajaiban yang selama ini mereka cari.
Tambahnya, pencarian tersebut bermula selepas masyarakat Barat mula mempersoalkan mengapa dunia masih gagal menghentikan penderitaan Gaza, sekali gus berusaha memahami sumber kekuatan rakyat yang terus bertahan di bawah kepungan rejim Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kemaraan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla memberi keyakinan baharu kepada rakyat Malaysia bahawa negara ini mampu menjadi antara pemimpin utama dalam kebangkitan global membela Palestin.
Jelasnya lagi, keberanian aktivis Malaysia yang ditahan dan dipenjarakan buat pertama kali menunjukkan bahawa solidariti dunia terhadap Gaza semakin utuh.
Justeru, beliau menegaskan bahawa perbincangan yang diketengahkan mempunyai signifikan besar kerana seluruh rakyat mengikuti perjuangan Palestin, sekali gus menjadi antara individu yang terus menghidupkan semangat perjuangan tersebut.