Rezeki berganda ketika air pasang besar

Iklan
Orang ramai meredah air pasang dari terminal feri Kukup.

PONTIAN – Musim air pasang besar sejak empat hari lalu membawa rezeki kepada peniaga di Pekan Kukup apabila fenomena luar biasa itu menarik kehadiran ramai pengunjung.

Mereka datang untuk menyaksikan sendiri limpahan air laut dan menikmati pengalaman berada di kawasan yang digenangi air.

Iklan
Iklan

Tinjauan mendapati paras air di Pekan Kukup melimpahi jalan setinggi 0.3 meter, namun pengoperasian terminal feri tidak terjejas.

Peniaga, Norita Md Din berkata, cendol serta makanan yang dijualnya habis dalam tempoh kurang dua jam selepas gerainya dibuka pada jam 11 pagi.

Iklan

Menurutnya, sejak fenomena air pasang besar berlaku pada Khamis lalu, ramai pengunjung dari luar terutama dari Johor Bahru datang ke Pekan Kukup.

“Saya sudah berniaga selama tiga tahun di Kampung Benteng Kanan dan setiap kali berlaku air pasang besar, jualan memang meningkat.

Iklan

“Pada hari biasa, jualan cendol hanya sekitar 30 cawan dan biasanya habis dijual pada sebelah petang.

“Namun ketika air pasang besar, jumlah itu meningkat hampir sekali ganda, termasuk makanan bergoreng seperti kentang dan nugget yang turut licin,” katanya.

Norita menunjukkan cendol di gerainya licin dibeli pengunjung yang menyaksikan air pasang besar di Pekan Kukup.

 

 

Bagi peniaga kerepek, Zulkifli Mohd Hafan berkata, setiap kali air pasang besar berlaku, barangan jualan akan diletakkan di tempat tinggi bagi mengelak kerosakan akibat air laut.

Menurutnya, jualan biasa sekitar RM300 sehari, namun pada Jumaat hingga Ahad semasa fenomena air pasang besar, boleh mencecah sehingga RM500 sehari.

“Ramai orang bertanya tentang air pasang besar kerana ramai yang tidak pernah melihat fenomena semula jadi ini terutama pada hujung tahun.

“Saya juga selalu berkongsi di media sosial tentang keadaan air pasang besar di Kukup. Ramai yang teruja hendak melihat sendiri air pasang besar termasuk pengunjung dari Singapura,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk sudah melakukan persediaan awal dengan mengangkat barang-barang penting ke tempat lebih tinggi sebelum air pasang besar berlaku.

Penduduk Kampung Benteng Kanan, Hayati Abdul Hamid, 42, berkata air pasang pada Sabtu naik lebih cepat daripada jangkaan sehingga memasuki bilik rumah dan mencecah paras lutut sekitar 0.3 meter.

“Air pasang besar semalam dianggap paling besar kerana air biasanya hanya sampai ke kawasan surau dan belakang benteng sahaja serta lebih tinggi berbanding kejadian air pasang besar pada bulan lalu yang hanya 0.1 meter.

“Penduduk kini lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca masih mendung dan berangin yang boleh menyebabkan kenaikan paras air secara mendadak. Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat berkata, fenomena air pasang besar melanda Kukup sejak Sabtu dengan paras maksimum 3.6 meter.

“Taman Negara Johor Tanjung Piai ditutup selama dua hari bermula Ahad berikutan fenomena air pasang besar yang dicatat.

“Penutupan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengunjung kerana arus air yang sangat deras dan berisiko tinggi.

“Anggota bomba akan membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk dan orang ramai tidak terjejas ketika air pasang besar berlaku,” katanya.