KUALA LUMPUR – World #QuranConvention (WQC) 2025 sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai platform ilmu al-Quran yang menyeluruh apabila pelbagai sesi interaktif dan penerangan praktikal yang ditawarkan berjaya membuka pemahaman peserta terhadap maksud sebenar al-Quran dalam konteks kehidupan seharian.
Seorang peserta, Anis Harsila Haron, 48, berkata, sesi-sesi yang berlangsung sangat menarik kerana semuanya ada isi yang memberikan poin penting.
Menurut suri rumah dari Melaka itu, sesi perkongsian Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin yang menyentuh tentang pesawat dan perspektif berbeza tentang realiti kehidupan menjadi antara sesi paling memberi kesan kepada dirinya.
"Selain itu, saya juga suka dan menggemari input daripada Dr Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi kerana merupakan perkara baharu yang belum pernah didengarinya sebelum ini.
"Pendekatan program kali ini sangat praktikal dan tidak bersifat teori semata-mata, sekali gus membuatkan saya berpuas hati dengan pengisian terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut peserta dari Johor, Rafidah Sidek, 46, penyertaannya buat pertama kali secara fizikal dipengaruhi topik ekonomi yang diketengahkan dalam WQC.
Beliau yang merupakan Pegawai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Johor itu mengetahui program tersebut melalui group WhatsApp kelas bersama rakan-rakannya.
Rafidah berkata, tajuk ekonomi sangat dekat dengannya dan ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam usaha mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan dan kepentingan menabung, bukan sekadar mengurus hutang.
Menurutnya lagi, pengalaman pertama itu disifatkan sebagai mengagumkan kerana banyak ilmu ekonomi dan kewangan berjaya menambah kefahamannya.
"Saya juga meminati sesi Raja Azmi kerana menyentuh aspek pengurusan pasukan yang boleh diterapkan kepada pasukan kecil di tempat kerja," ujarnya lagi.
Sementara itu, pesara dari Singapura, Rozainoor Ahmad, 69, pula menggambarkan keseluruhan program sebagai mantap kerana semua penceramah mempunyai kepakaran tersendiri.
Beliau menyifatkan, pengisian yang dibawakan merangkumi pelbagai sudut termasuk kehidupan, pemerintahan dan sosial secara menyeluruh.
"WQC memang sangat luar biasa dan menakjubkan apabila menggunakan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan," menurutnya.
Seorang lagi peserta dari Singapura, Rubiah Ross, 70, turut menyatakan WQC memberikan perspektif lebih luas tentang pengurusan kehidupan mengikut panduan al-Quran.
Kongsinya, dia memperolehi pelbagai input bermanfaat ketika sesi Penasihat Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abdul Rahman.
Bagi peserta, Zamirah Zainal Abidin, 50-an, dari Bukit Jalil, dia mengetahui program itu melalui Sinar Harian dan hadir buat pertama kali ke konvensyen tersebut.
Katanya, semua ceramah disifatkan bagus, terutamanya sesi jemputan seperti Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan.
Jelasnya, pada permulaan, tujuan utama hadir WQC adalah untuk melihat qari yang sebelum ini hanya ditonton melalui TV, namun merasakan banyak manfaat dapat diperoleh melalui penganjuran kali ini.