GEORGE TOWN - Lebih 50 penduduk Kampung Bagan Jermal mengadakan bantahan aman bagi mendesak pemaju dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera berhubung kesan projek pembangunan di Gurney Bay yang didakwa menjejaskan keselamatan serta kehidupan mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung, Mohamad Yakop Mohamad Dali, 73, mendakwa projek yang bermula pada Februari tahun lalu menyebabkan gegaran kuat akibat kerja-kerja penanaman cerucuk dan tambakan laut sehingga mengakibatkan banyak rumah serta premis di kawasan berkenaan mengalami keretakan.
Menurutnya, penduduk sudah beberapa kali membuat aduan dan mengadakan perjumpaan dengan pemaju serta wakil rakyat kawasan sejak Julai, namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit diambil.
“Tambakan laut dan cerucuk penahan mengakibatkan aliran air ke laut menjadi perlahan, menyebabkan banjir kerap berlaku hingga merosakkan lantai dan barangan penduduk.
"Kami mahu pemaju dan kerajaan negeri mengkaji masalah ini, cari solusi segera termasuk membaiki rumah serta mendalamkan sungai," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Seorang lagi penduduk, Norsiah Mustafa, 69, berkata, kehidupan mereka terjejas teruk selepas projek itu dilaksanakan berikutan paras tambakan laut semakin tinggi berbanding kawasan kampung sehingga menghalang aliran air sungai.
Katanya, disebabkan itu air mudah bertakung di dalam rumah setiap kali hujan dan walapun paras air hanya setakat buku lali, ia mengambil masa sehingga tiga hari untuk surut.
"Pembinaan projek itu hanya kira-kira 30 meter dari kawasan perumahan, menyebabkan banyak rumah kampung mula retak teruk.
"Pemaju ada beritahu mahu buat kajian jangka pendek dan panjang, tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan," katanya.
Penduduk lain, Ramlan Ishak, 61, pula meluahkan kebimbangan pemaju mungkin tidak lagi mengambil tanggungjawab terhadap kesan yang dialami penduduk selepas projek siap,
"Kampung kami sudah wujud lebih 100 tahun, tetapi pembangunan ini memberi kesan langsung kepada keselamatan dan kehidupan kami," katanya.
Penduduk berharap kerajaan negeri dan pihak pemaju turun padang untuk menilai kerosakan serta mengambil tindakan pemulihan segera bagi mengelakkan masalah lebih serius pada masa akan datang.
Sebelum ini, media melaporkan kontraktor perlu bertanggungjawab sekiranya kerosakan struktur rumah penduduk di Kampung Bagan Jermal berpunca daripada kerja tambakan projek pembangunan Gurney Bay.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah menerima aduan penduduk serta beberapa surat bantahan turut dipanjangkan kepada Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, Kampung Bagan Jermal mempunyai kira-kira 45 rumah dengan anggaran seramai 150 penduduk dan kerja tambakan pula terletak kurang 50 meter dari rumah penduduk.