Minta sunting gambar bersama arwah anak, permintaan bapa Nurin Jazlin undang perhatian

Iklan
Hasil gambar yang disunting warga maya dalam 'Edit Apa Hari Ini'.

SHAH ALAM – Hampir dua dekad berlalu, namun kisah tragis kehilangan dan kematian Nurin Jazlin tetap segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

Perkara itu kembali menjadi tumpuan apabila bapanya, Jazimin Abdul Jalil, baru-baru ini memuat naik permintaan menyentuh hati dalam Facebook 'Edit Apa Hari Ini'.

Iklan
Iklan

Jazimin meminta ahli kumpulan menggabungkan gambarnya dengan foto arwah Nurin Jazlin serta menyuntingnya dalam saiz besar untuk dibingkaikan.

Permintaan tersebut mendapat perhatian warga maya apabila meraih hampir 15,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen, menjadikannya antara hantaran paling tular dalam media sosial berkenaan.

Iklan

Ramai ahli turut berkongsi hasil suntingan masing-masing sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada keluarga kanak-kanak itu.

Berita kehilangan Nurin Jazlin pada Ogos 2007 menggemparkan negara.

Iklan

Nurin Jazlin dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007, dipercayai diculik ketika berjalan menuju pasar malam di Wangsa Maju.

Usaha mengesan bagaimanapun tidak berjaya dan akhirnya jenazah kanak-kanak itu ditemukan dalam sebuah beg yang ditinggalkan sekitar Petaling Jaya, Selangor kira-kira sebulan selepas diculik.

Hasil bedah siasat mendapati Nurin menjadi mangsa dera apabila tidak diberi makan dan minum selain timun serta terung ditemukan dalam kemaluannya.

Sehingga kini, identiti pelaku masih belum dikenal pasti dan kes berprofil tinggi itu kekal tidak terungkai, sekali gus terus menjadi tanda tanya serta meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.