AIRASIA mencetuskan satu langkah progresif yang mendapat perhatian seluruh negara apabila syarikat itu pada Jumaat mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang kini membolehkan kru wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas.
Tahun depan, penumpang boleh melihat kru kabin memakai seragam merah ikonik AirAsia dengan pembaharuan dibuat dengan memperkenalkan pilihan hijab dan seluar yang direka khusus secara profesional, mengikut reka bentuk digunakan oleh kru di laluan Jeddah.
Keputusan itu bukan sahaja mencerminkan perubahan dasar dalaman, tetapi mengangkat martabat pekerja wanita Muslimah yang sekian lama menantikan ruang untuk mengekspresikan identiti serta tuntutan agama tanpa menjejaskan kerjaya dalam industri penerbangan.
Selama bertahun-tahun, imej kru kabin sering dikaitkan dengan penampilan tanpa tudung, seolah-olah menjadi kod tidak rasmi dalam dunia penerbangan komersial.
Disebabkan itu, keputusan AirAsia diibaratkan sebagai satu pembaharuan yang meruntuhkan stereotaip lama dan mengangkat nilai keterangkuman dalam pasukan barisan hadapan syarikat penerbangan negara.
Ia membuka pintu lebih luas kepada wanita berhijab untuk menyertai bidang yang sebelum ini dilihat kurang mesra kepada identiti mereka.
Langkah itu bukan hanya diterima kru kabin syarikat itu sendiri, malah turut disambut baik oleh pelbagai pihak yang melihatnya sebagai penanda aras baharu bagi syarikat penerbangan lain.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, keputusan membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas di semua laluan penerbangan bermula tahun depan adalah langkah progresif dan amat dialu-alukan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga dilihat senada dan memuji tindakan terbabit, sekali gus menyifatkan ia sebagai langkah progresif yang wajar dijadikan penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara.
Keputusan itu membuktikan bahawa wanita bertudung juga mampu tampil profesional, dinamik dan kompeten dalam kerjaya global, selain memperkukuh imej syarikat penerbangan itu di mata pelanggan.
Justeru, perubahan terbabit wajar dijadikan inspirasi kepada semua syarikat penerbangan di Malaysia agar lebih terbuka mempertimbangkan polisi yang selari dengan kepelbagaian budaya.
Dengan adanya garis panduan industri yang menyokong pakaian kerja inklusif, lebih ramai wanita akan berasa selamat dan dihargai untuk berkhidmat dalam sektor penerbangan tanpa perlu mengorbankan prinsip diri.
Apa yang lebih bermakna, keputusan itu bukan sekadar perubahan seragam, tetapi juga langkah ke hadapan untuk memecahkan norma lama dan memberi peluang sama rata dalam industri penerbangan.
Diharapkan inisiatif seumpama itu menjadi inspirasi luas dan industri yang lain turut sama melangkah ke arah lebih terbuka, progresif dan menghormati identiti semua golongan.