Semua portal dalam satu akhbar

Iklan
Semua portal di bawah Sinar Karangkraf kini diterbitkan dalam Sinar Harian secara eksklusif untuk tatapan pembaca mulai Disember.

SHAH ALAM - Semua portal di bawah Sinar Karangkraf kini akan diterbitkan dalam Sinar Harian secara eksklusif untuk tatapan pembaca mulai Disember sempena pembaharuan dan wajah baharu akhbar itu.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, sebelum ini hanya Sinar Plus, Sinar Bestari dan Sinar Islam yang mempunyai sisipan dalam akhbar Sinar Harian.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tiga lagi portal berita iaitu Sinar Daily, Pop Family dan Sinar Varsity akan turut disiarkan dalam versi cetak bagi memberi kelainan kepada Sinar Harian yang kini lebih segar dan bernafas baharu.

"Sinar Daily sebenarnya sudah empat tahun diterbitkan namun sebelum ini sepenuhnya dalam bentuk digital, namun bagi memberi suntikan baharu dengan perspektif yang mungkin berbeza kita bawa tema hari Rabu iaitu English Day.

Iklan

"Kita akan menyediakan dua muka surat khusus untuk laporan-laporan menarik daripada pasukan editorial Sinar Daily," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Pop Family dan Sinar Varsity pula adalah dua portal gaya hidup dan pendidikan terbaharu yang akan diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian.

Iklan

Kongsinya lagi, Pop Family akan diterbitkan pada Ahad, manakala Sinar Varsity pada Selasa.

"Kita berharap dengan penerbitan laporan daripada semua portal di bawah kumpulan kita di dalam akhbar Sinar Harian, ia memberi nilai tambah kepada pembaca kita agar ia terus relevan kepada segenap lapisan masyarakat," ujarnya lagi.

Liputan komprehensif

Sementara itu, Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman berkata, versi cetak yang diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian menandakan satu lagi langkah baharu platform digital itu dalam memperluaskan capaian kepada pembaca.

Beliau memaklumkan, edisi pertama Sinar Daily yang membawa tagline ‘fearless and bold’ itu telah mula menemui pembaca pada Rabu lepas.

Menariknya kongsi Tasnim, Sinar Daily yang bakal memasuki tahun kelima penubuhan pada 1 Januari depan bermula sebagai platform digital sepenuhnya sebelum menembusi media cetak.

“Biasanya organisasi cetak bergerak ke arah digital, namun kami bermula sebagai digital dan kini memasuki dunia cetak. Ini satu pencapaian besar dan membuktikan media cetak masih relevan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, kandungan yang dibawa setiap minggu akan merangkumi laporan dalam bahasa Inggeris, termasuk isu nasional, dasar kerajaan dan perkembangan global yang mempunyai kaitan rapat dengan Malaysia.

Menurutnya, antara topik tidak lari daripada fokus Sinar Daily ialah isu sosial, kos sara hidup, kesihatan dan sukan, malah setiap keluaran akan disertakan dengan liputan komprehensif yang merangkumi platform cetak dan digital.

Jelasnya, laporan-laporan tertentu akan disertakan dengan video, selain usaha mengekalkan identiti Sinar Harian melalui suara rakyat sambil menawarkan sudut penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan.

Portal baharu

Dalam pada itu, Editor Sinar Varsity, Wan Nor Rosida Wan Hamad memberitahu, Sinar Varsity terus memperluas platformnya sebagai medium yang memberi ruang kepada warga kampus untuk mengetengahkan isu, aktiviti, gaya hidup serta inspirasi.

Menurutnya, kehadiran Sinar Varsity adalah untuk menjadi rakan medan wacana yang menyeluruh, jujur dan dekat di hati warga kampus tidak kira universiti awam, swasta dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Siaran Sinar Varsity dalam akhbar Sinar Harian merangkumi liputan eksklusif, rencah gaya hidup kampus, analisis pendidikan, cerita inspirasi serta sorotan kegiatan warga kampus.

"Dengan tagline 'Campus Now, Nation Next!', Sinar Varsity diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan mahasiswa yang bakal memimpin negara pada masa depan," kata beliau.

Bagi Editor Pop Family, Syahirah Mokhtazar, Pop Family diperkenalkan sebagai satu hab untuk keluarga, khususnya keluarga moden di Malaysia bagi menyokong hubungan antara ibu bapa dan remaja yang semakin terdedah kepada dunia digital.

Jelasnya, Pop Family dibangunkan bagi merapatkan jurang generasi antara ibu bapa dan anak-anak yang merupakan kumpulan paling aktif menggunakan media sosial, selain sebagai ruang mereka menyuarakan pendapat.

Menurut Syahirah lagi, antara perancangan terdekat termasuklah podcast yang mengupas isu-isu semasa merangkumi pandangan pakar, ibu bapa dan remaja.

Kongsinya, golongan sasaran adalah remaja berusia 13 hingga 21 tahun, manakala ibu bapa pula antara berusia 30 hingga 49 tahun.

Justeru Syahirah memaklumkan, pihaknya berharap dapat mencapai lebih ramai pembaca dan mendekatkan platform itu kepada komuniti keluarga dengan kemunculan Pop Family dengan versi dwibahasa.