Penunggang motosikal maut, pemandu kereta cedera dihempap pokok tumbang

Iklan
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah pokok tumbang.

MELAKA - Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta cedera selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh berhampiran Pangsapuri Polis Temenggong Taman Sentosa di sini pada Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika kedua-dua mangsa melalui jalan tersebut sebelum pokok tumbang menghempap motosikal dan kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka.

Iklan
Iklan

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dengan kekuatan lapan anggota digerakkan ke lokasi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta akibat pokok tumbang.

Iklan

“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok dan seterusnya melakukan pemotongan serta pembersihan pokok tumbang tersebut sehingga operasi selesai,” katanya.

Operasi menyelamat di lokasi kejadian di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh.

Iklan

Beliau berkata, penunggang motosikal, seorang lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

"Sementara itu, pemandu kereta, seorang wanita berusia 19 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.

"Operasi turut dibantu KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu ditamatkan jam 3.18 petang," katanya.