Jabatan Landskap terima RM85.6 juta, sasaran bina 1,000 Taman Madani

Iklan
Kor Ming menyantuni kanak-kanak yang menerima manfaat daripada Ruang Komuniti sempena perasmian Rukom ke-100 di PPR Pangsapuri Seri Kepayang pada Sabtu.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan RM85.6 juta kepada Jabatan Landskap Negara bagi pelaksanaan pelbagai projek termasuk sasaran mencapai 1,000 Taman Rekreasi Madani.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu selaras komitmen kerajaan memastikan lebih banyak kawasan hijau berkualiti diwujudkan bagi kesejahteraan komuniti bandar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam tempoh 24 bulan ini, sebanyak 216 taman Madani telah dibina di seluruh negara, melepasi jangkaan awal 100 taman setiap tahun. 

"Tahun depan, kita juga sasarkan 100 lagi taman Madani baru diwujudkan. 

Iklan

"Perak sahaja sudah mempunyai 34 taman dengan yang terkini di Taman Tanjak, Batu Gajah. Ini antara jumlah tertinggi di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ruang Komuniti (Rukom) ke-100 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di sini pada Sabtu.

Program berkenaan sebahagian daripada siri Jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT 2025.

Iklan

Kor Ming turut memaklumkan, di bawah Program Bandar Selamat, KPKT akan terus memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam.

Katanya, langkah itu bagi mengurangkan aktiviti kecurian dan kerosakan selepas beberapa insiden vandalisme dikesan melibatkan Taman Rekreasi Madani.

"Daripada pengalaman sebelum ini, apabila siap sahaja taman Madani, ada beberapa pihak tidak bertanggungjawab mencuri kerusi dan mencabut lampu.

"Ada juga angkat bangku bawa balik rumah. Ini sangat menyedihkan. Dengan adanya kemudahan CCTV, kes-kes sebegini dapat diminimumkan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu berkata, kejayaan menyiapkan 100 Rukom di seluruh negara dalam tempoh dua tahun menjadi mercu pencapaian penting KPKT di bawah URBANICE Malaysia.

Tambahnya, Perak mencatatkan 12 Rukom siap, termasuk di Seri Kepayang yang sebelum ini dikategorikan sebagai kawasan tidak terurus.

"Dulu kawasan ini kotor, tidak boleh digunakan malah menjadi lokasi kutipan sampah. Kini ia berubah menjadi ruang berdaya unik, selamat dan selesa untuk komuniti berehat, beriadah dan membaca," katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan setiap Rukom sekitar RM20,000 hingga RM30,000 dan keseluruhan 100 Rukom dibangunkan dengan peruntukan kurang RM3 juta.

"Di kawasan Kepayang, semua 15 blok rumah pangsa dari Seri Kepayang ke Pekan Lama Ipoh dan Jalan Bijih Timah, KPKT telah menyiapkan kerja-kerja cat baharu serta sistem lif yang dinaik taraf sepenuhnya," katanya.