WQC 2025: Tragedi Tenerife ajar kepentingan buat keputusan berasaskan fakta, komunikasi jelas

Iklan
Raja Azmi ketika dalam Sesi Perkongsian: Kewangan dan Al-Quran di World #QuranCovention (WQC) 2025 di Perdana Hall Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Sabtu. Foto Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Insiden perlanggaran pesawat di Lapangan Terbang Tenerife, Kepulauan Canary pada 1977 memberi peringatan kepada masyarakat tentang kepentingan membuat keputusan berasaskan fakta, komunikasi jelas dan kepimpinan yang berintegriti dalam situasi genting.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, tragedi membabitkan pesawat KLM Flight 4805 dan Pan American Flight 1736 itu merupakan kemalangan paling dahsyat dalam sejarah penerbangan dunia dengan 583 nyawa terkorban.

Iklan
Iklan

Ujarnya, insiden itu turut mengajar masyarakat supaya tidak bergantung kepada andaian tanpa pengesahan, terutama apabila membabitkan nyawa atau keputusan penting.

“Mesej daripada Surah Hujurat Ayat 6 amat relevan, ia memperingatkan agar kita sentiasa menyemak setiap maklumat sebelum bertindak, supaya kita tidak menyesal kemudian hari.

Iklan

“Dalam perniagaan pun sama. Nilai sebenar sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada realiti dan data, tetapi juga persepsi. Namun persepsi itu mesti diurus dengan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam Sesi Perkongsian: Kewangan dan Al-Quran di World #QuranCovention (WQC) 2025 di Perdana Hall Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Sabtu.

Iklan

Tragedi Tenerife pada 27 Mac 1977 merupakan nahas penerbangan membabitkan dua pesawat Boeing 747 milik KLM dan Pan American bertembung di landasan Lapangan Terbang Los Rodeos, Kepulauan Canary, sehingga meragut 583 nyawa.

Menurut Raja Azmi, tragedi Tenerife turut membawa pengajaran di mana perancangan, disiplin dan penyelesaian masalah secara sistematik sangat penting dalam mengurus apa juga bentuk risiko serta cabaran.

“Kes Tenerife berlaku 48 tahun lalu, tetapi pengajarannya kekal relevan hingga hari ini. Banyak keputusan dibuat berasaskan emosi, andaian, atau persepsi, bukan fakta.

"Dalam organisasi, keluarga atau perniagaan, satu kesilapan kecil boleh membawa impak besar apabila bergabung.

"Oleh itu, verifikasi, kesabaran, dan kejelasan komunikasi sangat penting,” ujarnya.