Mesyuarat pertama kaedah bayaran 40 peratus hasil Sabah dibincang Januari depan

Iklan
Anwar ditemui pemberita selepas Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta ruang bagi menyelesaikan isu empat kekosongan menteri dalam Kabinet sebelum menumpukan perhatian kepada pelaksanaan penyerahan 40 peratus hasil negeri kepada Sabah.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa teknikal di bawah Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan mesyuarat awal dari segi persiapan bersama Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, proses akhir mungkin sedikit terganggu kerana terdapat empat kekosongan menteri, termasuk Datuk Ewon Benedick dan Tengku Zafrul yang tamat tempoh di Senat, selain dua kekosongan terdahulu.

"Sama ada mungkin bulan ini agak suntuk sedikit kerana kita ada kekosongan empat menteri sekarang. Yang patut saya isi, jadi beri ruang saya satu dua minggu ini memikir dan bincang dengan ketua-ketua parti termasuk dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji untuk mendengar pandangan mereka sebelum saya tamatkan.

Iklan

"Jadi mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari tahun depan tentang kaedah parameters dalam soal 40 peratus supaya beri keyakinan betul-betul kepada Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.

Iklan

Perdana Menteri dalam pada itu menekankan bahawa isu 40 peratus hasil negeri bukanlah alasan atau dalih politik, termasuk pada musim pilihan raya, walaupun ada pihak yang sinis atau terlalu beremosi terhadap isu perkauman.

Beliau menegaskan, rakan-rakan dalam Jemaah Menteri juga sependapat bahawa perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh dan berperingkat.

"Ini bukan soal cari dalih, tentunya dalam musim pilihan raya dan juga kadang-kadang setengah-setengah pihak yang sinis, kita buat apa pun bagi mereka terus signikan atau orang yang terlalu kuat sentimen perkaumannya itu. Tetapi saya nak beritahu bahawa rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri pun ada bahawa kita harus lihat secara tertentu.

"Saya tak boleh kata kita serah pada bulan Januari, kita clear parametersnya, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam satu tahun.

"Semua itu kita akan serahkan kepada jawatankuasa teknikal, kemudian jawatankuasa persekutuan negeri sebelum diangkat kepada jemaah menteri Sabah dan jemaah menteri Malaysia," katanya.

Namun, Anwar menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tetap komited untuk menyerahkan 40 peratus hasil kepada negeri Sabah.

"Tapi apa yang sudah muktamad ialah, bahawa kerajaan Persekutuan seperti mana yang saya sebut dalam jemaah menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkan 40 peratus hasil kepada negeri Sabah.

"Bagi saya ini hebatnya Madani selalunya lepas pilihan raya kita cuti sekejap, tapi tak ada sebab saya tidak mahu ada andaian bahawa budaya politik itu budaya politik yang menjanji, janji tapi tidak laksanakan," tegasnya.