SUNGAI PETANI - Penguatkuasaan tegas membabitkan salah laku lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu diperkukuh dan dilaksana secara konsisten selaras ketetapan perundangan serta sensitiviti masyarakat Malaysia.
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, sekiranya undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menangani isu terbabit dengan lebih tegas, maka proses menggubal atau meminda undang-undang perlu dilaksana segera dan teratur.
Menurutnya, langkah ini penting bagi memperkukuh kerangka penguatkuasaan, pencegahan dan penyeliaan agar seiring dengan cabaran semasa.
"Pada masa sama, Alumni MPPK menyokong usaha pihak berkuasa memperkemas pelaksanaan undang-undang sivil dan syariah secara profesional, berhemah dan tanpa prejudis.
"Penguatkuasaan yang konsisten, jelas dan berasaskan bukti amat perlu bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat serta memastikan belia tidak terdedah kepada gaya hidup yang bercanggah dengan nilai budaya dan perundangan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Alumni MPPK menyarankan agar elemen pendidikan jati diri, moral dan akhlak diperkukuh sejak di peringkat sekolah sehingga ke institut pengajian tinggi (IPT) di samping penekanan terhadap literasi digital dan kesihatan mental.
Muhammad Amir Asyraf berkata, Malaysia mempunyai asas perundangan, prinsip moral dan kefahaman agama yang jelas dalam menolak normalisasi LGBT.
Beliau berkata, kebebasan individu tidak boleh diletakkan mengatasi kepentingan sosial lebih besar, khususnya apabila ia memberi implikasi kepada pembinaan identiti dan jati diri generasi muda.
Selain itu, katanya, media arus perdana dan digital juga diseru untuk mengelakkan pemberitaan yang sensasi atau mengelirukan.
"Laporan berkaitan isu LGBT perlu disampaikan secara berfakta, beretika dan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.
"Peranan media sangat besar dalam membentuk persepsi rakyat, oleh itu, laporan yang diterbitkan mestilah jelas, tepat dan tidak menimbulkan kekeliruan, terutama dalam isu yang melibatkan nilai dan moral sehingga memberi implikasi kepada negara," jelasnya.