KUALA LUMPUR - Al-Quran bukan sekadar teks untuk dibaca, tetapi sumber panduan hidup yang perlu diterjemahkan kepada dasar, sistem dan perubahan nyata dalam masyarakat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran World #QuranConvention 2025 mengingatkan umat Islam bahawa ajaran kitab suci ALLAH SWT itu perlu membentuk ekonomi, institusi serta masa depan sosial.
"Kepimpinan menuntut kesabaran, integriti dan belas kasihan seperti digariskan dalam Surah Al-Balad ayat 17 (yang) menekankan kepercayaan, kesabaran serta saling berpesan kepada kasih sayang.
"Pemimpin tidak boleh memilih jalan mudah. Ia memerlukan kekuatan seimbang dengan sifat belas dan dasar yang berakar pada ihsan," katanya ketika berucap merasmikan World #QuranConvention 2025 di MenaraKementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), di sini pada Sabtu.
Turut hadir Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam pada itu Amirudin menekankan tiga komitmen utama yang digariskan dalam Surah Al-Saff iaitu integriti antara kata dan perbuatan, kesatuan tujuan dalam barisan kepimpinan serta konsep tijarah dengan ALLAH yang menjadi asas menghubungkan usaha ekonomi berpanduan kehendak syariat.
Malah beliau menjelaskan, kemakmuran dalam ekonomi berpandukan al-Quran tidak ditentukan oleh angka semata-mata, tetapi berasaskan kejujuran, amanah dan keadilan sebagai prinsip dasar.
Ekonomi Quran bukan hanya instrumen kewangan tetapi seni bina moral yang memastikan kekayaan berjalan secara adil, menolak eksploitasi dan melindungi golongan rentan," ujarnya.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, usaha kerajaan Selangor membangunkan tadbir urus halal menjadi antara contoh jelas pelaksanaan nilai al-Quran dalam sistem pentadbiran negeri.
Beliau memaklumkan, negeri itu kini memiliki satu ekosistem halal paling aktif di negara ini dengan banyak syarikat diperakui beroperasi mengikut prinsip kejelasan, akauntabiliti dan integriti.
Malah sejak lebih 50 tahun, pelbagai program dirangka termasuk sokongan kepada usahawan kecil, peluasan akses pembiayaan serta latihan bagi membantu keluarga membina kehidupan yang stabil dan bermaruah.
"Dalam banyak usaha yang dijalankan, tadbir urus halal menjadi antara contoh paling ketara bagaimana nilai al-Quran diterjemahkan kepada dasar dan sistem.
"Selama lebih setengah abad, Selangor berusaha menginstitusikan penyeliaan halal sebagai amanah bersama antara kerajaan, industri dan komuniti," jelasnya.