KUALA LUMPUR - Surah Al-Saff menggariskan konsep Tijarah, iaitu peniagaan berasaskan nilai antara manusia dengan ALLAH SWT sebagai asas penyatuan masyarakat dan pembentukan organisasi yang lebih kukuh.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, konsep itu selari dengan amalan perniagaan berasaskan nilai seperti perusahaan sosial, tadbir urus beretika dan keadilan terhadap pekerja, berbanding model keuntungan semata-mata.
“Jika kita bekerja hanya untuk gaji, itu Tijarah dunia. Namun, apabila kita bekerja dengan nilai amanah, kejujuran dan memberi manfaat kepada masyarakat, ia menjadi Tijarah dengan ALLAH SWT.
"Keuntungan bukan satu-satunya matlamat. Kita tidak menunggu menjadi jutawan untuk berbuat baik, kita mulakan dengan apa yang ada," katanya ketika sesi Surah Al- Saff Highlights: Pillar for Trade & Economy di World #QuranCovention (WQC) 2025 di Perdana Hall Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengasas Institut Bayyinah dari Amerika Syarikat (AS), Nouman Ali Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi.
Ujar Fazrul, Surah Al-Saff turut menekankan konsep Bunyanun Marsus, iaitu barisan atau struktur bangunan yang kukuh.
Menurutnya, konsep itu memberi gambaran bahawa kekuatan ummah dan sesebuah organisasi hanya dapat dibina apabila setiap individu memahami peranan masing-masing serta bergerak dalam satu saf yang teratur.
“Bangunan yang kukuh wujud kerana setiap komponen berada pada tempatnya. Begitu juga manusia.
“ALLAH SWT menyukai hambaNya yang berjuang di jalanNya dalam saf tersusun. Ia bukan sekadar disiplin fizikal tetapi juga disiplin hati, misi dan nilai,” ujarnya.
Kata Fazrul, Surah Al-Saff juga menyatakan konsep Nasrullah yang merujuk kepada pertolongan dan kemenangan daripada ALLAH SWT sebagai ganjaran kepada mereka yang konsisten mengamalkan Tijarah berdasarkan nilai dan keikhlasan.
"Dalam ayat 11 dan 12, ALLAH SWT menawarkan satu bentuk perniagaan Tijarah yang menyelamatkan kita iaitu keampunan, syurga dan pertolonganNya.
"Ini ganjaran yang jauh lebih besar berbanding keuntungan material yang dikejar manusia,” katanya.