SEREMBAN - Hasrat dua beradik ke kenduri kahwin keluarga tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 266.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa Muhammad Aidil Danial Mohamad Fitri, 22, dan Muhammad Nabil Akmal Mohamad Fitri, 18, yang bekerja sebagai operator kilang maut di lokasi akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dalam perjalanan dari arah Klang menghala ke Melaka.
"Siasatan awal mendapati, penunggang motosikal berusia 22 tahun manakala pembonceng berusia 18 tahun.
"Apabila sampai di lokasi, motosikal ditunggang dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang sebelah kiri lebuh raya sebelum kedua-duanya terjatuh ke atas jalan dan kawasan rumput di sebelah kiri lebuh raya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kata beliau, penunggang dan pembonceng mengalami cedera parah di anggota badan telah disahkan meninggal dunia.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.