KOTA BHARU – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tindakan Kabinet yang didakwa campur tangan dalam urusan Dewan Rakyat berhubung isu penggantungan keahlian beliau baru-baru ini.
Menurut Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu, keputusan berkaitan perjalanan Dewan Rakyat sepatutnya dibuat oleh pihak legislatif dan bukan dibincang atau diputuskan dalam mesyuarat kabinet.
“Kita pun hairan juga sebab apa urusan dewan dibincang dan diputuskan dalam kabinet. Dalam Malaysia ini ada konsep pengasingan kuasa melibatkan tiga badan iaitu Perundangan (Legislatif), Pemerintah (Eksekutif) dan Kehakiman (Judisiari). Antara tiga badan ini, ia tidak boleh campur tangan antara satu sama lain.
“Sebelum ini pun tidak pernah berlaku. Urusan dalam Dewan Rakyat sepatutnya Dewan Rakyat lah buat keputusan. Jadi kena tanya Menteri Undang-Undang kenapa jadi begini,” katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (Bersama Masyarakat India) Peringkat Negeri Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini pada Jumaat malam.
Takiyuddin memberitahu, beliau pelik bagaimana keputusan berkaitan penggantungan ahli Parlimen boleh wujud daripada kabinet, sedangkan ia lazimnya diputuskan Speaker atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Tidak pernah berlaku dalam Dewan Rakyat, gantung ke, nak apa ke...Kabinet buat keputusan. Itu persoalan yang masih belum terjawab.
“Saya rasa isu ini bukan besar sangat, isu biasa sahaja. Dari dulu ramai kena gantung, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan terbaharu Ahli Parlimen Machang... semua digantung enam bulan.
“Tapi kenapa sampai begitu sekali terhadap saya, saya tak faham,” ujar beliau.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa keputusan sepatutnya dibuat oleh Speaker selaku ketua institusi legislatif.
“Peliklah... luar dari kebiasaan. Kena tanya Menteri Undang-undang. Padahal dia (Datuk Seri Azalina Othman Said) ada dalam Parlimen semasa kes saya dibawa, dia ada dalam dewan. Pelik-pelik... tidak pernah berlaku,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Jemaah Menteri pada Jumaat membuat keputusan supaya Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ia selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Ujar beliau, ia sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara berkenaan dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan ditetapkan.