TATA Consultancy Services (TCS), peneraju global dalam perkhidmatan IT, perundingan dan penyelesaian perniagaan sekali lagi mencipta impak besar melalui program KodeMyFuture sebuah inisiatif bertujuan memperkasakan graduan Malaysia dengan kemahiran digital terkini.
Inisiatif yang melatih graduan dalam kemahiran digital asas dan lanjutan seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data serta keselamatan siber itu merupakan kolaborasi antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sepanjang tahun lalu, program ini telah memperkasakan peserta dengan kemahiran diperlukan industri menerusi modul pembelajaran berstruktur, bimbingan industri dan pendedahan kepada projek dunia sebenar sekali gus menyediakan mereka untuk berjaya dalam ekonomi digital yang berkembang pesat.
Ketua Negara Tata Consultancy Services (TCS) Malaysia, Jeevan Rajoo berkata, ketika Malaysia mempercepat perjalanan transformasi digital terdapat keperluan mendesak untuk merapatkan jurang antara pembelajaran dan kerjaya demi mengubah potensi menjadi peluang.
“Setiap tahun, Malaysia menghasilkan hampir 300,000 graduan dan ramai antara mereka sedang mencari pekerjaan yang bermakna serta peluang peningkatan kemahiran untuk ekonomi digital.
“KodeMyFuture ialah contoh cemerlang bagaimana kerjasama awam–swasta dan pembelajaran berasaskan kemahiran dapat mengubah kehidupan, memperkasakan belia Malaysia dengan kemahiran digital yang relevan hari ini dan kritikal untuk masa depan.
“Kami amat menghargai Kerajaan Malaysia dan agensinya seperti KPT, MDEC dan PERKESO atas ketangkasan dan pandangan jauh mereka dalam memenuhi keperluan pasaran dan memberikan impak sebenar kepada kehidupan ramai graduan,” katanya pada majlis penutup program KodeMyFuture di Institut Kepimpinan & Pembangunan UiTM, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Tambahnya, inisiatif yang dianjurkan menunjukkan hasil positif apabila semua peserta mampu mengerah idea bernas walaupun dihadapkan dengan situasi sukar umpama dalam ‘periuk tekanan’ bagi menyelesaikan permasalahan yang diberi.
"Ini membuktikan sekiranya anak-anak muda kita diberi platform yang sesuai untuk menunjukkan bakat ditambah pula dengan bimbingan yang betul, mereka mampu memberi hasil yang terbaik,” katanya.
Ujarnya lagi, selain usaha mempersiap graduan dengan kemahiran digital melalui inisiatif seperti KodeMYFuture, TCS turut mempunyai program Go Innovate Together (GoIT) yang mendedahkan kanak-kanak kepada dunia digital.
Kira-kira 3,000 pelajar telah menyertai program GoIT sejak tahun 2023 dan tahun ini sahaja sekitar 1,800 pelajar menyertainya.
Lebih membanggakan, untuk tahun ini TCS telah menyelesaikan sesi GoIT di 11 sekolah dengan kerjasama MDEC.
"Kita melaksanakan program ini antaranya di sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang di mana kanak-kanak dalam kalangan umur 10-12 diperkenalkan kepada apa itu coding,interface, laman web dan lain-lain.
"Sebenarnya ramai anak muda kita memang mahir digital, apa yang penting bagaimana untuk menggunakan kemahiran digital itu untuk perkara yang bermanfaat berbanding hanya untuk membuang masa," katanya.
Menurutnya, tugas membentuk hala tuju anak bangsa adalah tanggungjawab bersama pelbagai pihak termasuk kerajaan, swasta malah GLC serta komuniti.
Jeevan turut berharap lebih banyak pihak tampil untuk mewujudkan dana bagi membantu anak-anak muda atau graduan memulakan syarikat 'start up'.
"Sekiranya kekangan dana ini dapat diatasi, tidak mustahil kita dapat menghasilkan ramai juara dunia di masa hadapan. Apa yang penting, kita beri peluang kepada graduan untuk mengenal pasti bakat masing-masing dan membantu mereka mengetengahkannya.
"Di TCS, kami mengambil tanggungjawab ini kerana siapa lagi yang harus diharapkan untuk membantu anak-anak muda kita," katanya.
Dalam pada itu, hadir menyempurnakan majlis penutupan tersebut, Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, program KodeMyFuture membuktikan apa yang boleh dicapai oleh Malaysia apabila kerajaan, akademia dan industri bekerjasama ke arah matlamat yang sama.
“Menerusi kolaborasi ini, kita bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan malah membina saluran bakat yang berkualiti tinggi dan bersedia untuk masa depan selaras dengan agenda transformasi digital dan ekonomi negara.
“Kejayaan ‘bootcamp’ ini menunjukkan bahawa latihan berasaskan industri yang disokong kerjasama akademik kukuh mampu mewujudkan perjalanan bermakna daripada pendidikan kepada pekerjaan,” katanya.
Tambah beliau, program ini menghimpunkan hampir 100 peserta yang dipilih dengan teliti berdasarkan potensi mereka untuk cemerlang dalam kerjaya digital berkualiti tinggi. Mereka terdiri daripada pelajar jurusan Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan bidang berkaitan dari pelbagai universiti awam.
Azlinda turut menegaskan, KodeMyFuture menyokong komitmen Malaysia untuk mengurangkan kadar pengangguran graduan yang telah menurun daripada 3.4 peratus pada 2023 kepada 3.2 peratus pada 2024 dengan 4.98 juta graduan kini bekerja.
Program ini turut menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi kepada 35 peratus menjelang 2030 berbanding 30.2 peratus tahun sebelumnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata, program seperti KodeMyFuture sejajar dengan misi MYFutureJobs untuk membantu graduan Malaysia menyesuaikan diri dengan tempat kerja yang semakin digital melalui peningkatan kemampuan dan minda mereka.
“Inisiatif ini menyokong usaha kami dalam melestarikan saluran bakat negara serta menggalakkan pekerjaan bermakna dalam kalangan graduan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil pula berkata,inisiatif TCS ini merupakan pelaburan langsung untuk melestarikan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan ekonomi digital negara.
“Dengan membina sebuah negara yang inklusif secara digital, di mana setiap graduan berpeluang untuk berjaya, kita sedang membentuk generasi baharu rakyat Malaysia yang celik AI serta meletakkan asas untuk aspirasi AI Nation 2030,” ujarnya.
Salah seorang peserta program Kode My Future, Muhammad Arif Zaqwan Mohd Zaki yang juga graduan AI dari UTeM Melaka berkata, matlamatnya menyertai program adalah untuk meningkatkan peluang dalam mencari pekerjaan.
“Saya beranggapan mungkin akan ada sesi temuduga selepas tamat program, tetapi tidak sangka akhirnya mendapat tawaran bekerja di TCS,” katanya.
Pemuda berusia 23 tahun itu turut mengakui, mendapat pelbagai pendedahan positif dari program tersebut antaranya mengenai bidang analisis data yang diminati selain belajar menyelesaikan masalah berdasarkan simulasi sebenar.
Bagi Nurul Asyiqin Abdul Razak, 23, graduan Kejuruteraan Perisian juga dari UTeM Melaka, dirinya mahu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan digital serta mengasah keyakinan terutama ketika belajar dan bekerja dalam pasukan.
“Awalnya memang agak malu, tapi kemudian rasa teruja dapat bekerjasama dengan graduan lain untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.
“Program seperti ini memang bagus dan perlu diadakan lebih kerap lagi, saya pun akan menggalakkan rakan-rakan dan mereka yang berminat untuk turut serta,” katanya.