PN Kedah tunggu maklumat lengkap Ahli Parlimen ditahan SPRM

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai Ahli Parlimen ditahan SPRM berhubung projek fidlot Kerajaan Kedah. Gamabr kecil: Mohd Suhaimi

ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) Kedah masih menunggu maklumat lengkap berhubung penahanan seorang Ahli Parlimen di negeri ini yang dikaitkan dengan gabungan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Khamis.

Penahanan itu bagi tujuan pertuduhan berkaitan usahasama ternakan lembu milik kerajaan negeri, susulan siasatan yang dijalankan sejak Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot.

Iklan
Iklan

Menurut Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, beliau setakat ini mengetahui perkara tersebut melalui laporan media sahaja.

“Saya belum menerima apa-apa maklumat terperinci. Setakat ini saya hanya melihatnya menerusi berita. Kita belum buat keputusan apa-apa lagi. Sebarang tindakan akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.

Iklan

Jelas Ahli Parlimen Langkawi tersebut, PN Kedah akan melihat perkembangan siasatan dengan lebih teliti sebelum membuat sebarang pendirian.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PN Kedah mengesahkan beliau turut belum menerima taklimat penuh mengenai penahanan Ahli Parlimen berkenaan.

Iklan

Ditanya sama ada kes itu membabitkan pentadbiran kerajaan lalu, Sanusi berkata perkara itu akan disemak terlebih dahulu.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, seorang Ahli Parlimen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada Khamis bagi tujuan pertuduhan berkaitan usahasama ternakan lembu milik kerajaan negeri.

Menurut sumber, kertas siasatan telah dibuka susulan aduan yang diterima pada 10 Februari 2025.

"Siasatan berkaitan kes ini telah dijalankan dan melibatkan seramai 15 orang saksi yang telah dirakam percakapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.