Sembilan lelaki bergaduh tepi pantai guna kayu, pedang ditahan

Iklan
Antara barang yang dirampas susulan penahanan sembilan lelaki yang dipercayai bergaduh tepi pantai Tanjung Kupang.

ISKANDAR PUTERI - Seramai sembilan lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di kawasan tepi pantai, Tanjung Kupang, di sini 17 Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, pihak Balai Polis Tanjung Kupang telah menerima maklumat kejadian pergaduhan tersebut yang mengakibatkan seorang lelaki warga tempatan cedera di bahagian kepala, badan dan tangan kiri.

Iklan
Iklan

Katanya mangsa yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menerima rawatan lanjut.

"Kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Johor Bahru dan semakan mendapati lapan suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta ujian awal saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis ganja.

Iklan

"Kesemua suspek sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) di mana empat suspek ditahan selama tujuh hari mulai 18 Januari hingga 24 Januari, empat lagi suspek (tujuh hari mulai 19 Januari hingga 25 Januari) sementara seorang lagi suspek ditahan selama empat hari mulai 20 Januari hingga 24 Januari.

"Polis juga berjaya merampas senjata melibatkan sebatang kayu rotan dan sebilah pedang dan pergaduhan dipercayai berlaku berpunca akibat mabuk," katanya dalam 1 kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah Kumarasan, kesemua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Katanya, dua lagi suspek turut dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda merbahaya dijatuhkan hukuman denda RM2,000 setiap seorang.

"Pihak Polis Daerah Iskandar Puteri memberikan amaran dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganggu gugat ketenteraman awam

"Polis juga akan sentiasa bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras sebarang perlakuan jenayah," katanya.