Usul gantung Takiyuddin akan disesuaikan, Parlimen bukan medan sebar fitnah - Saifuddin Nasution

Iklan
Saifuddin Nasution

SHAH ALAM – Usul yang telah dibentangkan bagi menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan akan disesuaikan bagi membolehkan ia dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk pertimbangan lanjut mengikut aturan yang ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat susulan keputusan Jemaah Menteri pada Jumaat yang memutuskan agar Setiausaha Agung Pas itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Iklan
Iklan

“Keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025.

“Kerajaan Madani percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Jemaah Menteri membuat keputusan agar Takiyuddin dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan susulan kenyataan berunsur fitnah yang dibuat terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut memaklumkan bahawa keputusan itu adalah selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Iklan

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi mana-mana wakil rakyat menjadikan Parlimen sebagai medan untuk bertindak melebihi batas.

“Parlimen ialah sebuah institusi yang mulia dan berwibawa, justeru tidak wajar dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan bertindak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara.

“Kerajaan Madani kekal komited untuk memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara serta memastikan setiap isu yang timbul ditangani secara berhemah dan berlandaskan amalan demokrasi berparlimen,” katanya.