Konjen Malaysia salur bantuan banjir di Sumatera Utara

Iklan
Konjen Malaysia salur bantuan banjir di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara menerusi Program Sinergi Rakyat Malaysia.

SHAH ALAM - Konsulat Jeneral (Konjen) Malaysia di Medan telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada lebih 200 keluarga yang terjejas akibat banjir di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara menerusi Program Sinergi Rakyat Malaysia.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek berkata, antara bantuan yang diberikan termasuk keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung dan makanan kering.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban penduduk memandangkan keadaan di kawasan tersebut masih belum pulih sepenuhnya.

“Kami menyumbang bagi membantu meringankan kesulitan yang dihadapi mangsa banjir di Sumatera Utara. Sebagai negara jiran dan juga saudara seagama, kami menggunakan sedikit dana yang ada untuk menyalurkan bantuan kepada mereka.

Iklan

“Banjir kali ini dilaporkan agak meluas. Justeru, kami turut bekerjasama dengan pihak pemerintah Indonesia bagi menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas yang amat diperlukan mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, banjir besar melanda kawasan berkenaan pada 27 November lalu, namun sehingga kini air masih belum surut sepenuhnya menyebabkan aktiviti harian termasuk operasi kedai runcit tergendala.

Iklan

Tambah Shahril Nizam, pihaknya memilih Tanjung Pura kerana ia merupakan antara kawasan yang mudah diakses dan amat memerlukan bantuan segera.

“Kawasan ini juga dipilih kerana penduduk setempat baru-baru ini telah bertungkus-lumus membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir.

“Kami amat menghargai usaha dan keprihatinan mereka. Justeru, adalah wajar untuk kami menghulurkan bantuan sebagai tanda terima kasih dan solidariti kemanusiaan.

“Sepatutnya kami melaksanakan Pesta Kulinari pada minggu ini, namun kami merasakan tidak wajar meneruskan program makanan ketika masih ramai yang sedang berdepan kesukaran akibat banjir dan kekurangan bekalan makanan.

“Justeru, kami menyesuaikan program tersebut kepada program bantuan banjir bagi membantu mangsa yang terkesan,” katanya.