MELAKA - Malaysia ketinggalan 10 tahun di belakang Jerman dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sedangkan industri memerlukan pakar lulusan bidang tersebut bagi memenuhi permintaan pasaran.
Presiden Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia, Datuk Joyah Abd Rashid berkata, kadar penyertaan graduan bidang TVET di Malaysia masih belum mencapai sasaran 32 peratus, apabila setakat ini berada pada paras 28 peratus.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi mencapai sasaran tersebut termasuk kerajaan menyalurkan peruntukan besar melalui kementerian berkaitan bagi memperkukuhkan bidang TVET.
“Industri memerlukan pakar-pakar lulusan TVET untuk menaikkan lagi sektor tersebut. Kita sudah ketinggalan 10 hingga 20 tahun berbanding Jerman dan negara-negara Eropah di mana TVET dianggap sebagai industri utama di sana.
“Contohnya dalam bidang penerbangan, menukar tayar kapal terbang pun boleh memperoleh sehingga RM5,000. Insya-ALLAH TVET dalam negara akan mencapai tahap itu pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Persatuan Pusat Bertauliah SLDN ke-11 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini pada Khamis.
Konvokesyen itu meraikan 700 penerima Sijil Kemahiran Malaysia, diploma dan diploma lanjutan dalam bidang TVET melibatkan kerjasama 24 pusat bertauliah.
Sehingga kini lebih 12,000 graduan telah dilahirkan menerusi pelbagai program TVET ditawarkan dengan antara 85 hingga 90 peratus graduan telah berjaya membantu industri dan ekonomi Malaysia serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Joyah berkata, TVET kini menjadi keperluan penting negara selain industri pengeluaran konvensional dan kini bergerak ke arah digital dan kecerdasan buatan (AI).
Jelas beliau, terdapat dua hingga tiga pusat bertauliah telah menawarkan program Digital AI dan semakin ramai graduan dihasilkan dalam bidang ini.
“AI kini satu keperluan masa hadapan. Semua sudah beralih kepada digital dan tidak lagi manual. Untuk berjaya dalam bisnes pun perlu tahu AI, terutama dalam jualan dan pemasaran.
“Ramai usahawan berjaya melalui platform seperti Facebook dan TikTok, malah ada kedai fizikal yang terpaksa ditutup kerana persaingan perniagaan digital. Itu semua hasil penggunaan AI,” katanya.
Selain itu untuk kekal relevan, SLDN akan meneruskan kerjasama dengan universiti serta Kementerian Pendidikan bagi menaikkan taraf TVET daripada peringkat diploma lanjutan ke Master dan PhD dalam bidang kemahiran.
Mengenai kursus baharu, beliau berkata, kursus dalam industi berat seperti perkapalan dan marin sudah lama ditawarkan, manakala tumpuan baharu kini ialah AI dan robotik, selari dengan permintaan teknologi terkini.