Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Iklan
Takiyuddin

SHAH ALAM - Jemaah Menteri pada Jumaat membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara berkenaan dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan ditetapkan.

"Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan dan untuk memastikan bahawa ahli Parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Iklan

"Selain itu, ia juga bagi membolehkan sebarang dapatan dibuat Jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan telah ditangguhkan.

Iklan

Usul berkenaan dibangkitkan berikutan kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Terengganu dengan tragedi Memali 1985.

Tambah kenyataan itu, Kerajaan Madani percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan.

"Kerajaan Madani juga kekal komited untuk memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, di samping memastikan bahawa isu-isu berbangkit ditangani berlandaskan kerangka demokrasi berparlimen," ujarnya.