HTAA tambah kerusi selepas aduan tular

Iklan
Razali mengadakan lawatan kerja ke HTAA susulan aduan yang tular di media sosial. Foto: Pahang Media

KUANTAN – Aduan mengenai kesesakan dan kekurangan kerusi di ruang menunggu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang tular di media sosial pada Khamis telah menerima tindakan segera daripada Kerajaan Negeri Pahang.

Gambar yang tular di laman sosial memaparkan pesakit dan pelawat terpaksa duduk di lantai akibat ketiadaan kerusi, turut menarik perhatian Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim.

Iklan
Iklan

Razali berkata, tindakan segera telah diambil sebaik sahaja aduan diterima bagi menilai keperluan semasa fasiliti berkenaan.

“Hasil lawatan, saya lihat memang berlaku kekurangan dan ada banyak kerusi yang rosak.

Iklan

“Buat sementara ini, pihak HTAA dengan bantuan ReadyCare akan membaiki kerusi-kerusi tersebut, dan ketika ini juga kita lihat sudah ada kerusi tambahan yang telah disediakan,” katanya, memetik laporan Pahang Media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, penyediaan kerusi tambahan merupakan langkah segera bagi memastikan pesakit dan pengunjung mempunyai ruang menunggu yang lebih selesa.

Iklan

Razali menambah, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keselesaan pengunjung hospital dan berharap pihak pengurusan hospital dapat memaklumkan segera sekiranya berlaku isu berkaitan fasiliti.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak pengurusan hospital untuk sentiasa mengemas kini perkara seperti ini bagi memudahkan bantuan sementara diberikan.

“Saya faham kadang-kadang peruntukan kementerian mengambil masa, sebab itu kerajaan negeri tampil membantu.

“Insya-ALLAH, saya akan bawa perkara ini kepada YAB Menteri Besar untuk tindakan lanjut sementara menunggu peruntukan daripada kementerian,” jelas beliau.