NEGARA hari ini kehilangan seorang tokoh politik yang cukup dikenali, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang telah mewarnai landskap politik Sabah dan Malaysia selama lebih empat dekad dengan penuh keberanian, ketegasan prinsip serta semangat juang yang tidak pernah luntur.
Dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Kinabatangan, Bung Moktar mula terdedah kepada dunia politik sejak usia muda hasil didikan keluarga yang kuat menyokong United Sabah Organisation (USNO).
Langkah awal penglibatan beliau bermula pada 1979 apabila dilantik sebagai Ketua Pemuda USNO Kinabatangan, sebelum meneruskan perjuangan dalam UMNO pada 1991 sebagai Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan.
Sejak 1996, Bung Moktar kekal sebagai Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan, menjadikan namanya sinonim dengan politik di kawasan tersebut.
Kerjaya beliau terus berkembang apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Jawatan tersebut memberikan pendedahan luas terhadap urusan pentadbiran negeri, selain mengasah kepimpinan serta pengalaman dalam pengurusan kewangan dan pembangunan Sabah.
Perjalanan politik Bung Moktar secara rasmi bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan pada ketika itu, beliau memperoleh majoriti 3,895 undi setelah meraih 8,141 undi berbanding lawannya yang memperoleh 4,246 undi.
Selepas kemenangan pertama itu, Bung Moktar terus mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan atas tiket Barisan Nasional (BN) sehingga ke akhir hayatnya, termasuk menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.
Pada PRU ke-15 pada November 2022, Bung Moktar mengekalkan kemenangan kali keenam di kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, menewaskan calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua dengan memperoleh 16,842 undi, manakala Mazliwati mendapat 12,512 undi.
Bung Moktar juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang pertama, setelah memenangi kerusi tersebut yang julung kali dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah, September 2020.
Pada PRN ke-17 yang berakhir Sabtu lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Selepas kemenangan pada PRN ke-16 melalui kerjasama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru dibentuk secara tidak rasmi ketika itu, Bung Moktar dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri atas kapasiti beliau selaku Ketua UMNO dan Pengerusi BN Sabah.
Pada masa yang sama, beliau turut memegang portfolio sebagai Menteri Kerja Raya Sabah.
Bagaimanapun, jawatan tersebut digantikan oleh Datuk Ir Shahelmey Yahya bermula Januari 2023, selepas Bung Moktar membawa UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan GRS atas alasan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Bung Moktar memulakan kerjayanya dalam sektor perkhidmatan awam sebagai pegawai di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sandakan dari 1987 hingga 1990.
Beliau kemudiannya menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari 1990 hingga 1992.
Bung Moktar meninggalkan dua isteri iaitu Datin Seri Nor Asidah Alimudin bersama tiga anak dan Datin Seri Zizie Ezette Abdul Samad bersama empat anak.
Pemergian Bung Moktar merupakan satu kehilangan besar, khususnya buat rakyat Kinabatangan, warga UMNO Sabah serta seluruh rakyat Malaysia yang mengenali figura beliau.
Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.