SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 2025 (Pindaan) atau Akta 4 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa membuka ruang buat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkenalkan LINDUNG 24 jam kepada 10 juta pekerja sektor formal.
Menerusi skim baharu ini, pekerja tidak perlu risau lagi sama ada sesuatu kejadian tidak diingini seperti kemalangan berlaku dalam waktu kerja atau di luar waktu kerja kerana jaminan perlindungan diberikan sepanjang masa.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pelaksanaan LINDUNG 24 jam juga mampu me ngurangkan beban kewangan pekerja dan keluarga dalam urusan rawatan, pengurusan hilang upaya dan pemulihan.
Jelas beliau, ia bukti kesungguhan yang diterjemahkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan agensinya dalam menetapkan standard baharu perlindungan sosial lebih setara dengan amalan negara maju.
“Dalam era kerja hibrid dan aturan kerja anjal, garis antara kerja serta kehidupan semakin kabur.
“Kita bekerja dari rumah, kafe, bahkan taman sambil menemani anak-anak, tetapi hakikatnya 42 peratus pekerja sahaja yang memiliki perlindungan kemalangan peribadi atau takaful.
“Sebab itulah kerajaan melalui PERKESO memperkenalkan skim LINDUNG 24 jam yang melindungi pekerja walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkaitan langsung dengan sistem penggajian mereka,” katanya.
Steven Sim yang juga ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut PERKESO, manfaat yang bakal diterima semua pekerja formal menerusi pindaan itu adalah perlindungan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu tanpa perlu membuktikan kemalangan berlaku dalam waktu kerja.
Selain itu, pihaknya menyelesaikan isu 12,306 tuntutan ditolak sejak 2023 hingga Oktober 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.
Antara faedah komprehensif menerusi LINDUNG 24 jam merangkumi Faedah Perubatan; Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS); Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK); Faedah Orang Tanggungan (FOT); Elaun Layanan Sentiasa (ELS); Faedah Pengurusan Mayat (FPM); Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional serta Kemudahan Pinjaman Pendidikan. PERKESO turut memberikan gambaran senario atau contoh kes yang diperbetulkan menerusi skim tersebut.
“Firdaus, 25, baharu sahaja sebulan bekerja di syarikat pembinaan. Pada hari cutinya, dia memandu pulang untuk menziarahi ibu bapanya yang uzur. Keretanya terbabas di jalan sunyi.
“Dia cedera parah iaitu patah kedua dua tulang tangan, mengalami kecederaan pada pergelangan kaki dan trauma dalaman serta terlantar selama 60 hari di hospital.
“Disebabkan kemalangan berlaku di luar waktu kerja, undang-undang hari ini mengklasifi kasikannya sebagai ‘Bukan Bencana Kerja’. Firdaus tidak layak menerima sebarang faedah PERKESO.
Kos rawatan puluhan ribu ringgit akhirnya ditanggung keluarga di mana ibu bapanya hampir menjual tanah pusaka demi menyelamatkan anak mereka,” kata PERKESO.
Bagaimanapun selepas kewujudan LINDUNG 24 jam, PERKESO memaklum kan bahawa dengan caruman hanya RM12.35 sebulan membolehkan Firdaus menikmati empat manfaat. Antaranya, Elaun Hilang Upaya Sementara sehingga RM4,752 mengikut hari cuti sakit (RM26.40 sehari).
“Jika Firdaus mengalami kecacatan kekal, dia layak memohon FHUK berdasarkan taksiran jemaah doktor, merangkumi bayaran pukal sehingga RM30,400.92 dan bayaran bulanan RM712.80 seumur hidup.
“ELS juga akan dibayar sebanyak RM500 seumur hidup termasuk rawatan perubatan dan pemulihan tanpa had mengikut Akta Fi.
“Semua ini hanya dengan caruman RM12.35 sebulan, jauh lebih murah daripada beban puluhan ribu ringgit yang kini terpaksa dipikul keluarga,” ujar PERKESO lagi.
REAKSI
"LINDUNG 24 jam adalah hasil perjuangan panjang Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak 10 tahun lalu. Ini juga menunjukkan bahawa tuntutan-tuntutan yang dibuat secara kolektif dan bersama dalam kesatuan mendapat perhatian sewajarnya oleh kerajaan, khususnya KESUMA."- Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor.
"Dengan perlindungan sepanjang masa, skim ini memanfaatkan 10 juta pencarum aktif, sekali gus menyelesaikan isu ribuan tuntutan kemalangan yang tidak layak sebelum ini kerana dianggap berlaku di luar waktu kerja. Langkah ini merupakan satu hadiah kepada pekerja di Malaysia menjelang 2026." -Pejuang Kesatuan Sekerja Veteran dan Presiden Majlis Rangkaian Kes atuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.
"Setelah hampir 10 tahun tertangguh, pelaksanaan Skim LINDUNG 24 jam amat-amat dihargai oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) lantaran keperluan mendesak bagi perlindungan menyeluruh pekerja pada masa kini yang tidak hanya tertumpu kepada kemalangan dan bencana di tempat kerja semata-mata."-Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin.
"LINDUNG 24 jam merupakan satu reformasi penting yang menangani jurang lama menyebabkan ramai pekerja tidak dilindungi apabila kemalangan berlaku di luar waktu bekerja." -Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.
"Pindaan ini memastikan caruman PERKESO dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk melindungi pekerja dalam situasi kritikal."-Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab.