KOTA KINABALU - Bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) di sekolah menengah agama tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersekolah bersetuju bahawa pada malam kejadian, sebelum pelajar itu ditemui di aras bawah bangunan asrama, tiada guru warden yang bertugas.
Asnie Marjan, 56, yang merupakan saksi ke-56 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya merangkap pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Koroner di sini pada Khamis.
Dalam keterangannya, beliau bersetuju bahawa terdapat lima guru warden seperti yang tertera dalam jadual bertugas sebagaimana dirujuk kepadanya dan dua daripadanya iaitu Cikgu Addorie dan Cikgu Adzlee hanya guru asrama.
Ditanya mengenai apa yang dilaporkan dalam buku laporan pada malam 15 Julai lalu, beliau menyatakan bahawa tidak ingat apa yang ditulis dalam buku tersebut.
Saksi memaklumkan bahawa beliau hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa Zara Qairina sekitar jam 3.25 pagi selepas dihubungi oleh Ketua Warden dan ketika itu beliau tidak berada di lokasi kejadian.
Katanya lagi, lokasi kejadian hanya dilawatnya beberapa hari selepas insiden mangsa ditemui di aras bawah bangunan asrama kerana beliau terus ke hospital selain perlu menyantuni ibu bapa yang datang ke sekolah bagi mendapatkan nasihat atau kaunseling mengenai anak masing-masing.
Beliau pada masa sama menafikan bertindak mengabaikan kes berkenaan kerana tidak melawat lokasi kejadian dengan segera.
"Selepas subuh 16 Julai lalu, sepanjang masa saya berada di hospital hingga ke malam. Pagi hari Kamis ada perbincangan dan saya lebih banyak menyantuni kehadiran ayah ibu.
"Untuk makluman, daripada 17 Julai hingga saya ditempatkan ke Jabatan, hari-hari saya berjumpa dengan ayah ibu. Sehingga rutin sarapan saya terabai, bukan maksudnya saya mengabaikan, demi ALLAH, tidak.
"Seawal jam 6.30 pagi ditunggu hari-hari ibu bapa minta kaunseling, tanya khabar anak," luahnya sebak sambil menyatakan bahawa dirinya terasa seperti dituduh mengabaikan tugasnya.
Bagaimanapun, Mohd Fairuz menjelaskan bahawa tujuan soalannya itu bukan untuk mengatakan guru tersebut mengabaikan tugasnya sebagai PK HEM.
"Tapi saya terasa dia berkata terabai. Maafkan saya, seorang ayah datang bukan sekejap," kata saksi sambil memaklumkan bahawa sekitar tiga hingga lima ibu bapa datang berjumpa dengannya setiap hari.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.