KUALA KRAI – Sebutir bom lama dipercayai sisa perang yang dijatuhkan dari pesawat, ditemui di ladang sawit di Gua Ikan di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, penemuan bom itu disahkan selepas siasatan awal oleh polis dan Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Menurutnya, Balai Polis Dabong menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan objek besi mencurigakan di ladang sawit milik sebuah syarikat persendirian di Gua Ikan pada jam 12.28 tengah hari.
“Sejurus menerima maklumat, pihak polis segera digerakkan ke lokasi dan mengambil langkah kawalan keselamatan.
“Kawasan tersebut ditutup sepenuhnya kepada orang awam bagi memastikan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mazlan berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan UPB IPK Kelantan turut hadir untuk menjalankan siasatan awal terhadap objek berkenaan.
“Siasatan mendapati objek tersebut adalah bom jenis Aerial dengan panjang 58 sentimeter,” katanya.
Beliau menambah, tindakan pemusnahan bom berjaya dilaksanakan pada jam 5.56 petang hari yang sama tanpa sebarang kerosakan harta benda awam mahupun kehilangan nyawa.
“Orang ramai dinasihatkan agar sekiranya menjumpai objek atau benda menyerupai bahan letupan, segera melaporkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.