KUALA LUMPUR – Usul untuk menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ekoran kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang dengan peristiwa Memali di Baling ditangguhkan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, usul tersebut ditangguhkan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Selepas kita dengar hujah (perbahasan) daripada semua (ahli Parlimen) dan menimbang hujah-hujah yang diutarakan itu, maka bagi pihak kerajaan saya mohon supaya usul ini ditangguh dan dibawa ke sesi akan datang,” katanya ketika menggulung usul itu di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Penangguhan itu sekali gus meredakan semula ‘suhu’ Dewan Rakyat yang bertukar panas sepanjang pembentangan dan perbahasan usul berlangsung kira-kira dua jam.
Terdahulu, dewan kecoh apabila wakil rakyat pembangkang dan kerajaan berselang-seli bangkit mencelah hinggakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkali-kali memberi amaran termasuk mengarahkan beberapa wakil pembangkang untuk duduk.
Empat pembahas usul itu ialah Takiyuddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang juga Ketua Pembangkang, Suhaizan Kayat (PH-Pulai) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).
Dalam perbahasannya, Takiyuddin memohon usul penggantungannya selama enam bulan dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Beliau menuntut satu prosiding yang adil dan diberikan hak bersuara untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan yang dibuat sebelum ini.
"Kalau sekiranya menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada jawatankuasa. Saya masih lagi seorang ketua whip dan saya akan arahkan rakan untuk terima jadi tidak perlu buat (undi) belah bahagi.
"Berikan saya prosiding yang adil, berikan saya hak untuk bersuara dan hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari berkata, beliau akan menyusuli keputusan dibuat Kementerian Dalam Negeri bagi menentukan sama ada perlu atau tidak sesi pengundian dijalankan nanti.
"Baik-baik jangan ada lagi yang negatif. Sekarang (usul) ditangguhkan. Insya-ALLAH saya akan dapat apa juga keputusan selepas itu sama ada pengundian diteruskan atau tidak. Tapi isunya (usul berkenaan) ditangguhkan" katanya.