KOTA KINABALU - Guru disiplin mengatakan bahawa pelajar di sekolah menengah agama tempat Zara Qairina Mahathir bersekolah masih berada dalam kategori baik, walaupun keterangan kebanyakkan pelajar dalam inkues kematian Allahyarham menyatakan budaya memaki adalah perkara biasa dan persekitarannya dianggap toksik.
Sebelum Nur Shukriah Mohd Fauzi dilepaskan selepas memberikan keterangannya, Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan mengambil peluang bertanyakan beberapa soalan kepada saksi dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Koroner pada Khamis.
Hakim bertanya mengenai tahap disiplin pelajar perempuan di sekolah tersebut sepanjang lapan tahun beliau mengajar, khususnya sebelum kejadian pada 16 Julai yang melibatkan Zara Qairina.
"Baik, bukan terlalu baik, sekadar baik sebab pelajar melakukan kesalahan hanya kesalahan disiplin ringan tidak melibatkan kesalahan berat," katanya.
Amir Shah kemudian menjelaskan bahawa soalan itu diajukan berdasarkan pengalaman saksi sebagai guru, memandangkan pelajar-pelajar yang terlibat telah berada di sekolah sejak Tingkatan Satu dan kini di Tingkatan Empat.
"Alasan kenapa saya bertanya, sebab keterangan daripada pelajar-pelajar sendiri, majoritinya sekolah ini budaya memaki adalah biasa, dan ada juga kenyataan berkata, persekitaran di sekolah ini sangat toksik," kata Hakim Koroner.
Saksi menjawab bahawa pihak sekolah, termasuk unit disiplin, telah melaksanakan pelbagai program untuk pelajar, namun beliau terkilan kerana urusan pembentukan sahsiah pelajar sering diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah.
"Kalau di pihak kami di sekolah banyak sudah program kami telah laksanakan setiap hari, memang disusun atur oleh kami sendiri unit displin, kami juga dalam bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab memang program-program islamik berada di bawah kami.
"Pihak kami sudah sehabis baik untuk anak-anak, kerana saya juga selalu berada di sana setiap pagi menasihati seperti bercakap sopan, menghormati sesama orang lain, rakan-rakan. Cuma saya terkilan sebab untuk kemenjadian bukan terletak 100 peratus di bahu para guru di sekolah.
"Tetapi, peranan ini selayaknya bersama-sama dengan komuniti luar, terutamanya ibu bapa di rumah. Sebab apa, guru pertama anak-anak adalah ibu bapa sendiri di rumah, dan sekolah pertama anak-anak adalah di rumah," katanya.
Inkues yang memasuki hari ke-50 ketika ini sudah mendengar keterangan daripada 56 saksi termasuk sebahagiannya adalah melibatkan kanak-kanak.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di HQE pada keesokan harinya.