KUALA LUMPUR - “Terus mendoakan saya, saya akan terus lalui semua ini mengikut lunas dan jalur hukum.”
Demikian reaksi bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditemui media selepas prosiding kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Shamsul Iskandar berkata, beliau menghargai sokongan rakan-rakan, sahabat serta barisan peguam yang hadir.
Katanya, beliau akan terus berusaha membersihkan namanya melalui proses undang-undang tanpa sebarang kompromi.
"Saya akan sedaya upaya membuktikan kebenaran serta mengikuti jalur hukum dan proses mahkamah.
"Sejak awal, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan siasatan dan insya-ALLAH, membersihkan nama saya,” katanya.
Sementara itu, peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, prosiding pada hari berkenaan berjalan mengikut aturan ditetapkan mahkamah, termasuk penetapan tarikh sebutan baharu pada Januari untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.
Menurut Amer, sepanjang proses tersebut berlangsung, anak guamnya terus mengekalkan pendirian bahawa beliau tidak bersalah terhadap semua dakwaan.
"Apabila berita dan tohmahan terhadapnya disebarkan, beliau telah membuat laporan polis ketika berada di Sabah untuk berkempen.
"Laporan itu dibuat bagi membersihkan namanya daripada tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau dan terhadap PMX," katanya.
Amer berkata, pihaknya percaya proses undang-undang akan berjalan dengan teratur dan memberi ruang kepada Shamsul Iskandar mempertahankan dirinya.
Terdahulu, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu kes bersetuju menerima rasuah RM100,000 dan tiga kes memperoleh wang termasuk kelengkapan perabot barangan elektrik berjumlah 76,829.03 pada 2023 dan tahun lalu.
Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, bersetuju untuk menerima suapan, sebanyak RM100,000 dan memperoleh RM40,000 daripada ahli peniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.
Bagi dua lagi pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya selama dua penggal bermula 2013 itu didakwa menerima kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, hakikatnya perbuatan itu tiada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta, sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.