SPRM sokong usaha unit integriti GLIC kekang rasuah sektor korporat

Iklan
Mohamad Zakkuan (tengah) bergambar bersama pegawai integriti GLIC selepas Sesi Perbincangan Meja Bulat di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong penuh usaha unit integriti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengekang jenayah rasuah di sektor korporat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, usaha itu penting bagi memastikan rasuah daripada terus berleluasa.

Iklan
Iklan

"SPRM bersedia memberikan kerjasama melalui penganjuran program antirasuah dan integriti, taklimat, latihan serta perkongsian amalan terbaik dalam memastikan risiko rasuah di sektor korporat dapat dikurangkan.

"Syarikat korporat turut digalakkan mengambil peluang dengan menganjurkan program anti rasuah dan integriti menerusi Program Potongan Cukai di bawah Subseksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang diperkenalkan kerajaan sejak 2021 lagi," katanya pada Sesi Perbincangan Meja Bulat yang diadakan di pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Iklan

Sesi berkenaan dihadiri pegawai integriti daripada GLIC merangkumi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta KWEST Sdn Bhd.

Program hasil kerjasama dengan KWAP ini turut mencerminkan komitmen berterusan GLIC dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan akauntabiliti demi memastikan ketelusan institusi pelaburan negara terus terpelihara.

Iklan

Antara isu yang diketengahkan ialah keperluan memastikan ketelusan dalam proses membuat keputusan tanpa konflik kepentingan, pematuhan yang konsisten terhadap garis panduan dan polisi organisasi, serta pengurusan risiko rasuah yang berkesan.

Faktor-faktor ini dilihat memberi kesan langsung kepada pelaksanaan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) di organisasi masing-masing.

Mengulas lanjut, tambah Mohamad Zakkuan, prinsip ‘tone from the top’ iaitu kepimpinan melalui teladan ialah satu aspek penting yang perlu diambil kira dalam pentadbiran dan pengurusan sesebuah organisasi, kata

Menurutnya, prinsip itu menjamin proses membuat keputusan dilaksanakan secara telus dan amanah supaya kredibiliti pihak pengurusan sesebuah organisasi diyakini.

“Jika pihak pengurusan yang mentadbir teguh dengan nilai integriti, maka pegawai bawahan secara tidak langsung akan menjadikan amalan tersebut sebagai teladan kepada budaya kerja sihat serta kondusif dalam penghasilan output berkualiti,” ujarnya.