KUALA LUMPUR -[DIKEMAS KINI] Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu kes bersetuju menerima rasuah RM100,000 dan tiga kes memperoleh wang termasuk kelengkapan perabot serta barangan elektrik berjumlah 76,829.03 pada 2023 dan tahun lalu.
Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
"Mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya yang memakai baju batik warna hijau.
Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, bersetuju untuk menerima suapan sebanyak RM100,000 dan memperoleh RM40,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.
Bagi dua lagi pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya selama dua penggal bermula 2013 itu didakwa menerima kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, hakikatnya perbuatan itu tiada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata, kesalahan berkenaan termasuk dalam kes yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya mahkamah berhasrat menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin.
“Jumlah itu munasabah kerana tertuduh sebelum ini memegang jawatan penting dalam kerajaan dan mempunyai rangkaian hubungan yang luas.
“Langkah terbabit perlu bagi mengelakkan gangguan terhadap saksi dan mengelakkan kelewatan prosiding,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili bapa kepada tiga anak itu berkata, merayu kadar berkenaan dikurangkan kerana anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa di sepanjang siasatan dijalankan.
Beliau turut mempersoalkan hujahan pihak pendakwaan yang menyatakan, kedudukan dan rangkaian hubungan ahli politik berkenaan boleh membawa kepada isu mengganggu saksi.
“Ketika timbul dakwaan kes ini, beliau berada di Sabah lalu segera membuat laporan polis.
“Ini membuktikan sifat penafian yang jelas dan tidak pernah menerima sebarang suapan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Suzana membenarkan Shamsul Iskandar diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua orang penjamin.
Beliau memerintahkan tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, dilarang mengganggu saksi dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 8 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, timbul isu dakwaan bahawa seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Berikutan itu, Albert dan Shamsul Iskandar direman enam hari sehingga 4 Disember, sementara seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong direman empat hari, bagi membantu siasatan.