'Saya cuma nak kasut bola' - Murid Tahun Lima harap dapat kembali berlari

Iklan
Shanaz Fariza menyuapkan susu kepada Muhammad Qhosiff Basyar semasa ditemui di rumahnya di Desa KEDA Malau di Jitra pada Rabu.

JITRA – “Saya mahu nak kasut bola, tak kisah warna apa janji saya dapat memilikinya”.

Itu kata-kata Muhammad Qhosiff Basyar Abdul Haziq, 11, yang kini sedang bertarung melawan kanser darah tahap empat.

Iklan
Iklan

Permintaan kecil itu mungkin tampak remeh bagi sesetengah orang, namun bagi Muhammad Qhosiff Basyar, impian itu yang masih tersisa dalam dirinya iaitu harapan untuk kembali berlari di padang seperti dahulu.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar itu sebelum ini aktif bermain bola sepak bersama rakan-rakan, namun kehidupannya berubah sepenuhnya sejak disahkan menghidap kanser Burkitt’s Lymphoma pada Oktober lalu.

Iklan

Ibunya, Shanaz Fazira Saidin, 31, berkata, anak keduanya itu mula menunjukkan simptom selepas mengalami demam berpanjangan hampir tiga minggu diikuti sakit kepala, sakit paha dan bengkak di leher.

Zuraini (kiri) melihat rekod rawatan Muhammad Qhosiff Basyar semasa melawatnya di Desa KEDA Malau di Jitra pada Rabu.

Iklan

“Paling saya risau bila bebola matanya tersembul keluar. Saya terus bawa dia ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dia dimasukkan ke ICU. Selepas beberapa ujian, doktor sahkan dia menghidap kanser darah dan sudah berada di tahap empat,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Desa KEDA Malau di sini pada Rabu.

Dia berkata demikian semasa menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang hadir menziarahi Muhammad Qhosiff Basyar dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Jelas Shanaz Fazira, anaknya kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang dan telah melalui tiga sesi rawatan dengan baki tiga lagi yang perlu dilengkapkan.

Menurutnya, mata Muhammad Qhosiff Basyar yang tersembul sudah kembali seperti biasa dan boleh berjalan semula walaupun perlu dipimpin.

Namun di sebalik perkembangan positif itu, Shanaz mengakui mereka sekeluarga berdepan tekanan kewangan yang hebat.

Bekas suaminya, Abdul Haziq Marzuki, 34, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori juga diberhentikan kerja kerana kerap mengambil cuti untuk membawa Muhammad Qhosiff Basyar ke hospital.

“Saya pula hanya bekerja sebagai kedi golf dengan pendapatan harian sekitar RM50 hingga RM100. Wang itu saya simpan untuk tambang dan makan minum kami semasa ke hospital,” kata Shanaz Fazira yang kini bergelar ibu tunggal dan menjaga empat lagi anak termasuk seorang bayi berusia dua tahun.

Katanya, walaupun sudah berpisah, bekas suaminya tetap bergilir menjaga anak mereka di hospital dan membantu sedaya mampu.

“Kadang-kadang saya buntu memikirkan perbelanjaan harian, apatah lagi bila anak sakit dan perlukan rawatan berterusan,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Qhosiff yang ditemui berkata, dia amat merindui saat bermain bola dan berharap dapat memiliki sepasang kasut bola sebagai pembakar semangat untuk terus kuat melawan penyakitnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 02190-41-000185743 atas nama Shanaz Fariza Saidin.