KOTA KINABALU - Saksi ke-53 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan kepada Mahkamah Koroner bahawa pihak sekolah tidak menyerahkan kenyataan bertulis pelajar berkaitan siasatan dalaman kepada pihak berkuasa susulan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya tidak memberikan sebarang maklumat kecuali jika diminta.
Nur Shukriah Mohd Fauzi, guru di sekolah tempat Allahyarham bersekolah, menyatakan perkara itu selepas ditanya Timbalan Pendakwa Raya merangkap pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari, dalam prosiding berkenaan.
Mohd Fairuz bertanya kepada saksi sama ada semua laporan bertulis dan pernyataan pelajar telah diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM.
"Tidak... Risau mengganggu siasatan polis (kenapa tidak diserahkan)," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Rabu.
Ditanya lanjut mengapa hasil siasatan unit disiplin tidak dimaklumkan kepada pihak polis, beliau menjelaskan bahawa perkara itu tidak termaktub dalam pekeliling.
"Dari awal memang KPM telah memberitahu kamu supaya tidak memberi sebarang kenyataan kecuali diminta polis. Apa yang kami faham, sebarang makluman, sebarang kenyataan memang tidak boleh diberikan kecuali diminta," katanya ketika diminta menjelaskan sebab laporan tersebut tidak dimaklumkan kepada PPD.
Apabila ditanya sama ada arahan itu dikeluarkan secara bertulis atau lisan, beliau memaklumkan ia disampaikan secara lisan melalui kumpulan WhatsApp kepada semua guru.
"Seingat saya secara lisan.. Sebab saya ini pun guru, jadi kami hanya mendengar secara lisan... jadi kamu akur sajalah, sukar untuk saya ulas.
"(Arahan) Kepada semua guru (melalui kumpulan WhatsApp) daripada pentadbir," katanya, namun beliau tidak dapat mengingat dengan jelas siapa yang mengeluarkan arahan tersebut.
Semasa pemeriksaan balas oleh pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham, isu sama turut disentuh mengenai empat laporan bertulis yang tidak diserahkan kepada pihak polis.
Saksi bersetuju dengan pemahaman Peguam Farrah Nasser bahawa pengetua merupakan pihak yang bertanggungjawab mengemukakan laporan sekolah kepada PPD, JPN atau KPM, namun dalam kes ini tiada sebarang laporan dimajukan oleh pihak pengetua.
Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju bahawa sekolah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana gagal membantu siasatan polis.
"Saya tidak bersetuju sebab apa yang diberi dan diminta oleh pihak polis, memang semua pihak sekolah berikan. Untuk siasatan rumusan siasatan dalaman termasuklah keterangan-keterangan tidak diminta tapi pihak sekolah ada serahkan keterangan lima orang pelajar terakhir yang bertemu dengan Arwah pada malam tersebut," katanya.
Ditanya sama ada beliau tahu mengapa keterangan bertulis pelajar lain tidak diserahkan kepada polis, saksi menyatakan bahawa dokumen tersebut tidak diminta.
Saksi turut diminta menjelaskan kenyataannya sebelum ini bahawa laporan tersebut disediakan untuk siasatan dalaman pihak sekolah dan bertujuan membantu pihak polis, namun tetap tidak diserahkan kepada pihak berkuasa walaupun dikatakan berniat untuk membantu.
"Seperti yang saya katakan tadi, tidak diminta dan kami dilarang untuk memberi sebarang kenyataan di mana boleh disalahertikan terutama kepada netizen, 'bias' atau direka-reka keterangan tersebut," katanya sambil menjelaskan bahawa pengetua juga mengetahui mengenai siasatan dalaman berkenaan.
Sebelum itu, Farrah bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.