Dua ekor tapir berkeliaran tepi jalan

Iklan
Tangkap layar daripada rakaman video tular mengenai kemunculan dua ekor tapir di tepi jalan di Sungai Isap pada malam Selasa.

KUANTAN - Kelibat dua ekor tapir berkeliaran di tepi Jalan Sungai Isap di sini pada lewat malam Selasa mengejutkan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Kejadian itu tular selepas video berdurasi 34 saat dimuat naik seorang pengguna laman sosial yang merakamnya dari dalam kenderaan.

Iklan
Iklan

Dalam rakaman tersebut, kelihatan seekor tapir dewasa dan seekor lagi lebih kecil sedang makan di kawasan berdekatan semak.

Pemandu kenderaan yang merakam kejadian dilihat memperlahankan kenderaan sambil memaklumkan terdapat dua ekor haiwan berkenaan.

Iklan

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri haiwan liar itu kerana boleh mencetuskan provokasi.

Menurutnya, walaupun haiwan ini kelihatan jinak tetapi ia juga mempunyai sifat mempertahankan diri daripada ancaman.

Iklan

“Terdapat beberapa kejadian di mana orang ramai digigit oleh tapir sehingga membawa kecederaan parah,” katanya ringkas.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya melaporkan kepada Perhilitan dan tidak bertindak sendiri.

“Jika berada di jalan raya dan ternampak tapir, pemandu digalakkan memperlahankan kenderaan kerana pergerakan haiwan liar sukar dijangka bagi mencegah kemalangan,” katanya.