ALOR SETAR - Seorang bekas guru Matematik, Mohd Fadli Salleh menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar-pelajar di sekolah apabila mendedahkan tangkap layar perbualan berunsur lucah antara seorang guru lelaki dan pelajar perempuan berusia 15 tahun di media sosialnya.
Dia mendakwa, pelajar itu telah menjadi menjadi mangsa ‘grooming’ oleh pendidik tersebut di sebuah sekolah di sini yang sepatutnya menjadi pelindung kepada pelajar berkenaan.
Menurutnya, perbualan bermula dengan nada prihatin sebelum beransur menjadi gurauan berbaur seksual seperti ajakan berjumpa secara peribadi dan permintaan agar pelajar memanggil guru tersebut dengan gelaran abang.
“Cikgu lelaki ‘groom’ murid perempuan usia 15 tahun. Seramnya baca perbualan lucah mereka.
Sebelum ada yang kecam budak tu, saya nak cakap siap-siap. Ya, budak tu pun salah, sebab dia melayan.
“Tapi budak tu baru umur 15 tahun. Akal tak sempurna lagi, Ditipu, diperdaya orang dewasa, dan inilah dia dipanggil 'grooming'. Awal-awal cakap elok, tanya khabar, tunjuk ambil berat. Bila nampak budak dah start layan, mula masuk jarum slow-slow,” katanya dalam hantaran di media sosial pada malam Selasa.
Tambah pempengaruh media sosial itu, tindakan guru itu jelas menunjukkan elemen ‘grooming’ iaitu satu bentuk manipulasi psikologi yang sering digunakan oleh pemangsa seksual untuk memperdaya mangsa bawah umur.
Menurutnya, mangsa yang masih di bangku sekolah menengah dikatakan sempat menyedari niat tidak baik guru terbabit dan bertindak membuat laporan polis serta aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
“Dengar kata, cikgu tersebut ditukar ke sekolah lain. Harap cikgu itu betul-betul insaf. Jangan jadikan pelajar sekolah lain jadi mangsa pula,” tulisnya lagi.
Walau bagaimanapun, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mempersoalkan pertukaran guru tersebut yang disifatkan sebagai tidak cukup tegas dan berisiko membuka ruang kepada kejadian sama berulang di sekolah baharu.
Jelas mereka, KPM didesak memperketatkan garis panduan etika guru, memperkukuh sistem aduan dalaman dan memastikan pelaku dikenakan tindakan disiplin sewajarnya termasuk digantung tugas sementara siasatan dijalankan
Pada waktu sama, Mohd Fadli turut mendakwa terdapat satu lagi kes berasingan yang turut berlaku di daerah ini apabila seorang guru lelaki didakwa sering mengeluarkan kata-kata lucah di dalam kelas.
Jelasnya, pelajar yang membuat aduan kepada pengetua sekolah berkenaan dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya menyebabkan laporan dibuat kepada seorang guru lain.
Menurutnya, guru tersebut telah membuat aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) namun tindakannya membawa padah apabila beliau ditukarkan ke sekolah lain atas alasan melangkaui kuasa pengetua walaupun niatnya adalah untuk melindungi murid.
“Guru lucah itu pun ditukar, tapi guru yang melindungi murid pula yang terpaksa menanggung kesusahan. Jarak sekolah baharu menyukarkan urusan harian beliau,” katanya.