Dakwaan SPRM langgar Seksyen 46 tidak berasas - Azam Baki

Iklan
Azam Baki

PUTRAJAYA - Dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009 dalam menjalankan siasatan terhadap peguam Mahajoth Singh yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei adalah tidak berasas, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, siasatan telah dibuka terhadap peguam terbabit selepas keengganannya untuk bekerjasama dengan SPRM.

Iklan
Iklan

"Jadi perkara ini secara asas beliau (peguam) dikategorikan sebagai saksi kerana mempunyai keterangan dan ekshibit (bahan bukti) yang difikirkan perlu oleh pegawai penyiasat saya.

"Tindakan diambil mematuhi undang-undang dengan menyerahkan notis untuk beliau hadir ke pejabat.

Iklan

"Beliau hadir ke pejabat pada dua hari lepas (Isnin) tetapi enggan beri kerjasama menyerahkan ekshibit yang diperlukan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

Beliau berkata, SPRM telah merujuk perkara terbabit kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebelum kertas siasatan dibuka hasil pandangan TPR.

Iklan

Jelasnya, Mahajoth dalam kes ini bukanlah sebagai peguam yang mempunyai simpanan sulit atau perlu dilindungkan kerana dalam hal ini beliau perlu memberi kerjasama bagi membantu siasatan.

"Dalam hal ini SPRM dipertikaikan banyak pihak berhubung Seksyen 46.

"Dakwaan kami langgar akta ini tidak berasas di mana pertama pemanggilan peguam untuk hadir bagi tujuan rakam percakapan dibuat di bawah Seksyen 30(1) dan 30(2) Akta SPRM 2009 iaitu peruntukan yang beri kuasa jelas kepada SPRM untuk memerintahkan mana-mana hadir dan kemukakan dokumen bagi membantu siasatan," katanya.

Jelas Azam, undang-undang tidak beri pengecualian kepada peguam atau mana-mana profesion lain.

"Apa yang diminta ialah bahan bukti dan maklumat sebagai individu yang mempunyai maklumat penting dalam siasatan.

"Ini bukan pendakwaan ke atas beliau (Mahajoth) dan tidak jejaskan kedudukan beliau sebagai peguam kepada mana-mana pihak," katanya.

Tegasnya, siasatan akan dijalankan secepat mungkin pada minggu hadapan.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan penafian Mahajoth yang mewakili Albert berkenaan dakwaan SPRM bahawa beliau memiliki 'bukti penting'.

Mahajoth menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan keterlaluan, serta seolah-olah bertujuan mengelirukan orang ramai mengenai peranannya sebagai peguam bela.

Mahajoth turut menafikan bahawa beliau mempunyai telefon bimbit yang didakwa milik Albert Tei, sambil menegaskan bahawa dokumen yang diminta SPRM adalah dilindungi oleh keistimewaan komunikasi peguam dan anak guam.