Babak baharu siasatan kes bunuh Syamsul Haris

Iklan
Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kematian ahli kadet Palapes, Syamsul Haris Shamsudin, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan membuka lembaran baharu siasatan dan menandakan perkembangan penting dalam usaha mencari keadilan bagi keluarga mangsa.

Langkah tersebut dibuat selepas AGC menerima taklimat lengkap hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sebelum ini mengendalikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

Iklan
Iklan

AGC dalam kenyataan memaklumkan, bahawa penelitian terhadap laporan siasatan membawa kepada keputusan untuk kes diklasifikasikan semula bagi membolehkan penyiasatan yang lebih menyeluruh dilakukan mengikut peruntukan undang-undang lebih berat.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram.

Iklan

Jenazahnya dikebumikan keesokan hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Namun, perjalanan kes berubah apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Ogos membenarkan permohonan keluarga untuk penggalian semula kubur dan bedah siasat kedua.

Iklan

Permohonan itu akhirnya membawa kepada pengambilalihan kes oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman.

Bedah siasat kedua dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Ogos, sebelum jenazah dikebumikan semula pada hari sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar pula menegaskan, penyiasatan kini difokuskan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat atau bertanggungjawab dalam kematian penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan lanjut selaras peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya seperti dilaporkan media.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu proses siasatan dan menjejaskan prinsip keadilan.

Analisis terhadap perkembangan ini menunjukkan bahawa pengklasifikasian di bawah Seksyen 302 lazimnya hanya dibuat apabila terdapat elemen yang memerlukan penelitian menyeluruh termasuk kemungkinan kecuaian serius atau perbuatan jenayah.

Pengambilalihan oleh USJT iaitu unit khas yang mengendalikan kes berprofil tinggi turut menandakan tahap keutamaan yang diberikan pihak berkuasa.

Tindakan keluarga mendapatkan bedah siasat kedua yang diluluskan mahkamah serta keputusan AGC ini dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha memastikan semua persoalan sekitar punca kematian dijawab sepenuhnya.

Isu melibatkan kematian ketika latihan ketenteraan sering mendapat perhatian umum, apatah lagi apabila melibatkan institusi pendidikan dan latihan negara.

Kes Syamsul Haris kini menjadi tumpuan kerana melibatkan soal keselamatan, standard latihan serta ketelusan institusi.

Dengan siasatan kini berada pada landasan baharu, perhatian rakyat akan tertumpu kepada hasil akhir yang bakal menentukan sama ada terdapat pihak yang akan didakwa.