KUALA LUMPUR - Pelaksanaan kaedah zakat al-Mustaghallat secara khultah dijangka bermula pertengahan tahun 2026, sekali gus menyediakan mekanisme lebih teratur, telus dan cekap bagi pemegang unit Muslim untuk menunaikan zakat bagi dana harga tetap Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Rick Ramli berkata, kaedah yang mengambil kira pengiraan zakat ke atas pengagihan pendapatan sahaja itu turut membuka ruang kepada pemegang unit untuk menerima pengagihan pendapatan bersih selepas zakat tanpa perlu membuat pengiraan manual yang sering menimbulkan kekeliruan.
Menurut beliau, langkah itu juga selaras dengan usaha memastikan tadbir urus zakat dana harga tetap menjadi lebih sistematik dan selari dengan perkembangan semasa hukum syariah.
“Pendekatan ini memudahkan pemegang unit menunaikan zakat secara patuh syariah dengan proses yang lebih teratur dan tepat,” katanya pada sesi taklimat dan sidang media Kaedah Zakat Al-Mustaghallat Secara Khultah (Kolektif) bagi dana harga tetap ASNB di Menara Merdeka 118 di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 4 September 2025 telah memberikan asas hukum yang jelas bagi pelaksanaan kaedah tersebut.
“MKI telah bersetuju dengan kaedah ini selepas penelitian menyeluruh di peringkat nasional,” katanya.
PNB memaklumkan, setakat ini lima negeri telah meluluskan pelaksanaannya iaitu Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah manakala negeri lain masih dalam perbincangan bagi pembentangan di peringkat jawatankuasa fatwa masing-masing.
“Proses libat urus dengan negeri-negeri lain sedang berjalan supaya lebih banyak negeri dapat menyertai pelaksanaan ini,” katanya.
Tambahnya, konsep al-Mustaghallat yang digunakan mengenakan zakat ke atas pengagihan pendapatan, bukan pelaburan prinsipal, sekali gus memastikan pelaburan prinsipal pemegang unit kekal sepenuhnya.
Ia dianggap lebih sesuai dengan struktur dana harga tetap yang tidak memberikan keuntungan melalui jual beli unit.
Melalui kaedah khultah atau kolektif, zakat dipotong sebelum pengagihan pendapatan dibuat, dan pemegang unit boleh memilih sama ada mahu menerima pengagihan pendapatan penuh atau pengagihan pendapatan bersih selepas zakat.
“Kadar zakat yang ditetapkan ialah 2.57 peratus bagi semua dana harga tetap ASNB,” ujar Rick.
Dana yang terlibat di bawah kaedah ini ialah ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3, dengan kutipan zakat diselaraskan mengikut alamat dan pegangan unit setiap pemegang unit.
“PNB turut mengunjurkan kutipan zakat sekitar RM60 juta pada tahun pertama pelaksanaan berdasarkan unjuran 30 peratus pemegang unit Muslim akan memilih untuk membuat persetujuan.
“Jika sasaran penyertaan awal dicapai, kutipan zakat dijangka sekitar RM60 juta,” katanya.
Jelasnya, zakat yang dikutip akan disalurkan terus kepada pusat zakat negeri yang telah meluluskan kaedah ini, manakala bagi negeri yang belum memberi kelulusan, kutipan tersebut akan disalurkan kepada PPZ-MAIWP buat sementara waktu.
“Semua kutipan zakat akan diserahkan sepenuhnya dan secara terus kepada pusat zakat negeri tanpa mengenakan sebarang caj atau komisen,” katanya.
PNB menegaskan pelaksanaan penuh akan dimulakan selepas mendapat kelulusan yang berkaitan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), manakala maklumat tambahan mengenai mekanisme teknikal akan dikongsikan menjelang pelancaran rasmi.
Zakat bukan tujuan kurangkan pengagihan pendapatan
Sementara itu, kaedah zakat al Mustaghallat secara khultah yang bakal diperkenalkan ASNB bukan bertujuan mengurangkan pengagihan pendapatan pemegang unit sebaliknya menyediakan proses pembayaran zakat yang lebih teratur dan patuh syariah.
Ketua Pengurusan Syariah Kumpulan PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata, istilah ‘pengurangan’ tidak menggambarkan maksud sebenar pelaksanaan kaedah berkenaan.
“Apa yang diperkenalkan ini bukan pengurangan pengagihan pendapatan, tetapi satu kemudahan kepada pemegang unit Muslim yang memang mahu menunaikan zakat,” ujarnya.
Menurut beliau, kaedah al-Mustaghallat menetapkan bahawa zakat dikenakan ke atas pendapatan sahaja dan pendekatan itu berbeza daripada amalan terdahulu yang turut mengambil kira prinsipal pelaburan.
Beliau berkata, pendekatan khultah memberi ruang kepada ASNB menguruskan kutipan zakat secara kolektif sekali gus menghapuskan keperluan pengiraan individu yang sebelum ini membebankan sebahagian pelabur.
“Dengan kaedah kolektif, pengiraan akan dibuat secara seragam dan lebih efisien berbanding pembayaran individu,” katanya.
Dalam masa sama, mekanisme ini turut memberi manfaat besar kepada pusat zakat negeri, terutama dari segi penyelarasan data serta peningkatan kepastian jumlah kutipan zakat tahunan.
“Pusat zakat mungkin tidak mempunyai gambaran penuh data pemegang unit Muslim, namun ASNB mempunyai rekod terperinci mengikut negeri dan pegangan unit,” jelasnya.
Beliau berkata, jumlah besar kutipan secara kolektif juga membolehkan pusat zakat menguruskan agihan kepada asnaf dengan lebih sistematik kerana jumlah kutipan lebih konsisten berbanding sumbangan individu yang tidak menentu.
“Walaupun asas kiraan zakat hanya ke atas pendapatan dan bukan modal, kesannya tetap signifikan kerana kutipan secara khultah akan menghasilkan jumlah yang stabil dan tersusun,” tambah beliau.
Jelasnya, kaedah itu turut membuka peluang kepada pusat zakat negeri untuk mengenal pasti tahap kepatuhan zakat pemegang unit amanah mengikut lokaliti, sekali gus membantu dalam perancangan dasar dan program kebajikan.
“Kita boleh melihat dengan lebih jelas berapa ramai yang membayar zakat untuk setiap negeri, dan ini memberi nilai tambah yang tidak wujud sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, manfaat tersebut membuktikan kaedah al-Mustaghallat secara khultah membawa situasi ‘menang-menang’ kepada pelabur, pusat zakat dan ekosistem pengurusan zakat secara keseluruhan.
“Maslahahnya lebih besar berbanding limitasi yang ada, sebab itu kami memperkenalkan inisiatif ini,” ujar Ahmad Basri.
Kaedah ini akan dilaksanakan berperingkat mengikut dana harga tetap selepas mendapat kelulusan penuh SC serta kelulusan fatwa negeri yang masih dalam proses perbincangan.
INFO
Kadar pengagihan pendapatan ASB: 5.75%
Kadar pengagihan pendapatan bersih selepas zakat 5.75% - (**2.57% x 5.75%) = 5.60%
Ilustrasi pengiraan menggunakan kadar pengagihan pendapatan dan bonus ASB 2024
** kadar zakat berdasarkan taksiran tahun Masihi
Kaedah Zakat Al-Mustaghallat (ASNB – Dana Harga Tetap)
• Jumlah pengagihan pendapatan × kadar zakat 2.57% = zakat perlu dibayar
• Kaedah ini hanya untuk pemegang unit Muslim yang memilih untuk membayar zakat secara kolektif (khultah). Bagaimana kaedah khultah berfungsi?
• Pemegang unit beragama Islam boleh memilih untuk menyertai kemudahan zakat khultah.
• Pemegang unit akan menerima pengagihan pendapatan bersih selepas zakat ditolak.
• ASNB akan menyalurkan zakat kepada Pusat Zakat Negeri bagi pihak pelabur.
Harga berubah
• Kaedah pengiraan zakat kekal mengikut amalan pusat zakat negeri masing-masing.