JELI – Seorang pelajar pengajian Doktor Falsafah (PhD) maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum masuk ke dalam tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.35 petang yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
Menurutnya, ketika sekitar jam 6.20 petang itu, kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa, Muhammad Amidee Abdullah, 25, sedang melalui selekoh kiri dalam keadaan menuruni bukit di kawasan kampus berkenaan.
“Secara tiba-tiba kereta hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tasik di bahagian kanan jalan. Penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri, namun pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penumpang kini menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian sebenar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jeli di talian 09-9440222 atau pegawai penyiasat di 014-8021928,” katanya.
Kamarulzaman turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berbukit dan selekoh bagi mengelakkan kemalangan.