'Carrier' urus migran melalui kaunter 'ditetapkan' di KLIA diberkas

Iklan
JIM dengan kerjasama AKPS menahan kegiatan membawa masuk migran secara tidak sah melalui KLIA Terminal 2 pada Isnin. Foto: JIM

SEPANG - Seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai 'carrier' bagi mengurus kemasukan warga asing secara haram dipercayai sejak tiga bulan lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini diberkas pada Isnin.

Pembongkaran kegiatan suspek itu dilakukan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hasil risikan dua minggu.

Iklan
Iklan

JIM dengan kerjasama AKPS menahan kegiatan membawa masuk migran secara tidak sah melalui KLIA Terminal 2 pada Isnin. Foto: JIM

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, selain suspek utama operasi bermula jam 6.40 itu turut menahan dua migran yang dibawa masuk masing-masing iaitu lelaki warga Saint Kitts and Nevis serta wanita China.

Iklan

Menurutnya, pasukan operasi telah menyita satu pasport China, pasport Saint Kitts and Nevis serta pasport Malaysia selain cap keselamatan imigresen, telefon bimbit dan wang tunai RM23,100.

"Modus operandi ‘carrier’ ialah membawa migran ke kaunter yang telah ditetapkan untuk memudahkan migran melepasi kaunter pemeriksaan.

Iklan

"‘Carrier’ akan memberi arahan kepada migran berkaitan laluan yang akan digunakan ke kaunter yang telah 'disetting’ berserta lakaran atau gambaran kedudukan kaunter yang akan digunakan.

"Pegawai yang bertugas di kaunter pemeriksaan disyaki terlibat dengan mengetahui lebih awal pergerakan masuk melalui aplikasi WhatsApp apabila ‘carrier’ menghantar gambar pakaian yang dipakai migran terbabit bagi memudahkan pegawai mengenal pasti migran yang ingin dilepaskan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

JIM dengan kerjasama AKPS menahan kegiatan membawa masuk migran secara tidak sah melalui KLIA Terminal 2 pada Isnin. Foto: JIM

Beliau berkata, suspek warga tempatan ini akan memerhati dari jauh pergerakan migran melepasi kaunter.

Tambahnya, suspek kemudian akan bergerak ke kaunter pemeriksaan yang lain setelah migran berjaya melepasi Kaunter Pemeriksaan Imigresen.

"‘Carrier’ dan migran akan berjumpa semula di pintu balai ketibaan dan akan bergerak bersama-sama untuk keluar dari kawasan terminal.

"‘Carrier’ hanya menggunakan isyarat tangan kepada migran bagi mengaburi pihak berkuasa," ujarnya.

Kata Zakaria, kesemua tangkapan berusia di antara 25 hingga 34 tahun telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

"Suspek tempatan disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala dua warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Tegasnya, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara selaras dengan hasrat kerajaan Madani," ujarnya.