TANAH MERAH - Seorang pemuda ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat diserang sawan ketika mengail berhampiran Masjid Panglima Bayu di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Mohd Khairil Naqiudin Jali, 25, jatuh ke sungai sedalam kira-kira 0.6 meter sebelum hilang daripada pandangan.
Jirannya, Ahmad Arif Rifki Lokman Hakim, 15, berkata, mangsa dipercayai ke sungai itu bersama adik lelakinya yang berusia 11 tahun untuk mengail ikan.
“Ibunya telefon saya beritahu tentang kejadian dan minta bantuan untuk mencari Khairil.
“Saya terus telefon bomba dan pergi ke lokasi tetapi hanya melihat sepasang seliparnya terapung,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, bomba yang tiba di lokasi kemudian turun ke sungai dan menemukan mangsa tidak lama selepas itu.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemahang, Penguasa Bomba Kanan II, Alias Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada jam 3.03 petang sebelum menggerakkan sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi.
“Pasukan membuat pencarian di kawasan sungai dan menjumpai mangsa di dalam sungai.
“Mengikut maklumat adik mangsa di lokasi, mangsa mengail ikan di tepi sungai dan tiba-tiba terkena sawan sebelum terjatuh ke sungai itu,” katanya.
Menurut Alias, jenazah mangsa diserahkan kepada kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.