JOÃO PESSOA – Seorang remaja berusia 19 tahun maut selepas diserang seekor singa betina ketika cuba menceroboh masuk ke kandangnya di Zoo Parque Zoobotânico Arruda Câmara, pada pagi Ahad, menurut laporan akhbar Brazil, Correio Braziliense.
Mangsa, Gerson de Melo Machado, dilaporkan memanjat struktur sangkar setinggi lebih 5.5 meter sebelum turun ke dalam sangkar singa itu melalui sebatang pokok.
Iklan
Iklan
Rakaman video yang tular di X menunjukkan singa betina itu menyerang Machado sewaktu dia sedang menuruni pokok, dan cuba melarikan diri sebelum diseret ke tanah.
Zoo mengumumkan penutupan sementara sehingga siasatan rasmi selesai dan menegaskan singa betina berkenaan, Leona, tidak akan dibunuh kerana berada dalam keadaan sihat serta tidak menunjukkan kelakuan agresif di luar insiden itu.
Leona kini sedang dipantau kerana mengalami tekanan tinggi akibat kejadian tersebut.
Menurut kaunselor kebajikan kanak-kanak, Verônica Oliveira, Machado menghidap skizofrenia dan pernah dimasukkan ke institusi beberapa kali.
Mangsa sebelum ini dikatakan bermimpi untuk menjinakkan singa di safari Afrika dan pernah cuba menyelinap ke roda pendaratan pesawat untuk ke sana.-Agensi