STAR jadi pembangkang, bukan sebahagian daripada kerajaan GRS

Iklan
Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan pendirian terbaharu bahawa mereka bukan sebahagian daripada kerajaan yang dibentuk bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya kekal dengan pendirian bahawa Sabah perlu ditadbir oleh parti-parti tempatan dan bukan parti nasional.

Iklan
Iklan

“STAR ingin menjelaskan pendirian berikutan pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baharu.

“STAR tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan GRS. Pendirian kami kekal tidak berubah – Sabah mesti ditadbir oleh parti-parti tempatan, bukan oleh gabungan yang bergantung kepada pengaruh parti dari Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas mengenai pelantikan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada STAR, beliau menjelaskan bahawa pelantikan Datuk Mohd Ishak Ayub sebagai Pembantu Menteri adalah atas lantikan terus oleh Ketua Menteri.

“Ia bukan jawatan yang dirundingkan oleh parti. Beliau ialah wakil rakyat Bingkor dan kami menghormati prerogatif beliau untuk menerima pelantikan tersebut,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Jeffrey sekali lagi menegaskan bahawa STAR akan bertindak sebagai blok pembangkang yang bertanggungjawab.

“Kami akan menyokong dasar yang melindungi Sabah, dan kami akan menentang sebarang langkah yang menjejaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan, atau perjuangan panjang untuk membawa Sabah kepada rakyat Sabah.

“Pendirian kami konsisten dan tegas. Kami menyokong sebuah kerajaan negeri yang dibentuk sepenuhnya oleh parti-parti tempatan Sabah.

“Selain daripada itu hanya akan melemahkan kuasa tawar-menawar Sabah dan masa depannya.

“STAR akan terus menjalankan tugas dengan integriti, disiplin dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sabah dan rakyatnya,” tegas beliau.