TANAH MERAH - Emosi dua anak kepada Allahyarham Mastura Abdullah yang maut dipercayai ditikam suaminya pada Isnin berada dalam keadaan stabil.
Adik bongsu arwah, Ahmad Hafizan, 22, berkata, anak sulung kakaknya berusia 12 tahun pergi ke sekolah seperti biasa.
Menurutnya, emosi anak lelaki yang berusia 10 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam juga berada dalam keadaan baik walaupun dia di antara yang terawal melihat keadaan ibunya selepas kejadian menyayat hati tersebut.
"Alhamdulillah, mereka berdua baik-baik sahaja. Tentang hak penjagaan kami sedang berbincang sama ada akan dijaga oleh kakak tiri mereka di Selayang, Selangor atau nenek saudara di sini.
"Arwah kakak mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinannya yang pertama sebelum ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sinar Harian melaporkan suami kepada mangsa yang berusia 63 tahun direman selama enam hari sehingga Ahad ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu pada Isnin, dalam kejadian jam 10 pagi itu Mastura yang bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Suspek dikatakan telah menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira jam 1 tengah hari.
Pasangan tersebut sudah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, HTM untuk bedah siasat dan selamat dikebumikan jam 7 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku pada Selasa.