Spa songsang: PPMM gesa pihak berkuasa agama teruskan pendakwaan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 29 November lalu. Gambar kecil: Muhamad Hisham.

SHAH ALAM – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa pihak berkuasa agama menggunakan peruntukan lain iaitu undang-undang jenayah syariah sedia ada untuk meneruskan pendakwaan membabitkan kes serbuan di pusat spa dan kesihatan yang dikaitkan dengan aktiviti songsang.

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihak berkuasa tidak boleh hanya sekadar melepaskan suspek dengan ‘nasihat’ selepas operasi besar-besaran dilakukan kerana tindakan itu menghantar isyarat lemah bahawa undang-undang syariah di negara ini tiada taring untuk menghukum pesalah moral.

Iklan
Iklan

Tegasnya, pendakwaan boleh dibuat menerusi Seksyen 29 yang melibatkan Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam, Seksyen 35 (Menganjurkan atau Memujuk Melakukan Maksiat) dan Seksyen 43 (Penyubahatan).

“PPMM memandang serius laporan media berkenaan serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan aktiviti hubungan sejenis, di mana dilaporkan tiada pendakwaan jenayah dibuat ke atas individu yang terlibat.

Iklan

“Alasan bahawa terdapat ‘kekangan undang-undang’ atau kesukaran pembuktian adalah sesuatu yang perlu diperbetulkan segera demi memelihara kedaulatan undang-undang di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, dilaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan tindakan segera berkaitan undang-undang perlu diambil bagi membanteras jenayah sosial, khususnya gejala songsang.

Iklan

Beliau berkata, pihak berkaitan perlu melihat alternatif secara menyeluruh berhubung perkara terbabit termasuk pindaan undang-undang.

Fadil berkata demikian mengulas tangkapan 202 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di pusat spa dan kesihatan di Chow Kit pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Muhamad Hisham menjelaskan, adalah tidak tepat untuk memberi gambaran bahawa tangan penguat kuasa terikat sepenuhnya dalam meneruskan pendakwaan kerana di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], peruntukan undang-undang adalah jelas iaitu mengikut Seksyen 25 membabitkan liwat.

Menurutnya, PPMM juga maklum bahawa untuk mensabitkan kesalahan jenayah syariah, elemen pembuktian adalah ketat, iaitu perbuatan seksual tersebut mesti berlaku dan disaksikan atau wujudnya pengakuan salah.

Bagaimanapun, katanya, ketiadaan ‘aksi seksual’ semasa serbuan bukan alasan untuk melepaskan pelaku tersebut begitu sahaja.

“Kesalahan syariah berkaitan hubungan sejenis seperti liwat lazimnya ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar hukum syarak atau tabii semula jadi dan bukan sebagai kesalahan yang memerlukan ‘mangsa’ dalam pengertian tradisional seperti dalam kes jenayah fizikal.

“Kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur bahawa kes melibatkan 202 lelaki yang ditahan tidak dapat diteruskan kerana ‘tiada mangsa’ menimbulkan persoalan penting tentang kefahaman terhadap undang-undang jenayah di Malaysia,” ujarnya.

Muhamad Hisham mendakwa, pandangan tersebut bukan sahaja tidak selari dengan prinsip beberapa kesalahan yang disebut sendiri oleh pihak polis, malah mengelirukan masyarakat tentang bagaimana undang-undang sebenar berfungsi.

“Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan bahawa kes tidak boleh dibawa ke hadapan kerana tiada seorang pun tampil sebagai mangsa.

“Hakikatnya, polis sendiri mengesahkan bahawa siasatan dibuat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii.

“Prinsip seksyen ini jelas, di mana perbuatan fizikal itu sendirilah elemen kesalahan. Undang-undang tidak pernah mensyaratkan wujudnya seorang pengadu atau mangsa untuk membentuk kesalahan.

“Jika berlaku pelakuan tersebut, sama ada suka sama suka atau sebaliknya, pelakuan tersebut sudah pun memenuhi pelakuan utama actus reus atau tindakan kesalahan berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata, masalah sebenar bukannya undang-undang tidak mencukupi tetapi disebabkan tiada bukti fizikal, tiada rakaman, tiada tangkapan yang secara jelas menunjukkan pelakuan dan tiada elemen pembuktian yang mencukupi untuk melepasi standard jenayah.

Tambahnya, undang-undang memerlukan bukti, bukan sekadar tangkapan besar-besaran atau persepsi moral dan apabila bukti tidak wujud, siasatan terhenti.

“Tetapi mengumumkan kepada umum bahawa undang-undang tidak boleh berfungsi ‘kerana tiada mangsa’ adalah kesimpulan yang terlalu mudah dan tidak menggambarkan realiti peruntukan sebenar.

“Lebih membingungkan ialah gesaan bahawa undang-undang perlu dipinda bagi membolehkan siasatan dijalankan. Meminda undang-undang bukan jalan keluar kepada salah faham undang-undang.

“Undang-undang jenayah tidak boleh diubah semata-mata kerana penyiasatan sukar atau serbuan tidak menghasilkan bukti yang memadai. Menggubal undang-undang berdasarkan kekeliruan konsep hanya membuka ruang kepada penguatkuasaan berlebihan, pendakwaan tanpa standard pembuktian dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Muhamad Hisham berpandangan, kesimpulannya kenyataan bahawa kes tidak dapat diteruskan kerana ketiadaan mangsa adalah tidak tepat bagi kesalahan yang tidak memerlukan mangsa seperti di bawah Seksyen 377B.

Katanya lagi, jika bukti tidak mencukupi, ia sebenarnya melibatkan isu siasatan dan bukan isu undang-undang, selain undang-undang juga tidak boleh dipinda hanya untuk menampung kelemahan atau kekeliruan dalam memahami prinsip jenayah yang sedia ada.

Berikutan itu, beliau mendesak supaya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) lebih kreatif dan proaktif dalam merangka pertuduhan dan tidak terperangkap dengan definisi sempit sehingga pelaku maksiat bebas memperlekehkan undang-undang.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) serbuan dan pengumpulan bukti juga mesti diperkemaskan supaya bahan bukti yang diperoleh di lokasi cukup untuk membina kes prima facie (kes yang kukuh) di mahkamah. Agensi kerajaan hendaklah melengkapkan penguat kuasanya dengan pemahaman jelas prinsip dan mekanisme undang-undang dalam melaksanakannya.

“Pihak berkuasa tidak perlu takut dengan tekanan kumpulan hak asasi liberal. Jenayah syariah adalah soal akidah dan akhlak umat Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambah beliau.

Selain itu, beliau memaklumkan, PPMM bersedia menawarkan khidmat nasihat undang-undang dan kepakaran teknikal bagi memastikan pendakwaan kes-kes seumpama itu dapat dilaksanakan dengan berkesan pada masa hadapan.

“PPMM menggesa undang-undang syariah dan undang-undang sedia ada lain digunakan sebagai undang-undang yang mendidik melalui ketegasan, bukan sekadar menasihati tanpa tindakan,” tegasnya lagi.