Kanser payudara, pangkal rahim jadi 'pembunuh senyap' wanita - Irmohizam

Iklan
Irmohizam (duduk depan, tiga dari kanan) dan Dr Magendra (duduk depan, dua dari kiri) bergambar bersama peserta dan kakitangan Hospital Metro sempena Program Women’s Voices, Women’s Choices: Cervical and Breast Cancer Awareness di Kampung Api-Api di sini pada Isnin.

KUALA SELANGOR – Kanser pangkal rahim dan payudara terus menjadi 'pembunuh senyap' wanita apabila kebanyakan pesakit hanya dikesan pada peringkat lewat menyebabkan rawatan lebih sukar dan peluang pemulihan semakin tipis.

Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana kedua-dua penyakit itu sebenarnya mampu dicegah atau dirawat dengan lebih berkesan jika dikesan awal.

Iklan
Iklan

"Kesihatan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi menjadi nadi kebahagiaan rumah tangga, kekuatan ekonomi keluarga dan asas kestabilan masyarakat.

"Jika wanita sihat, keluarga kita kukuh dan masa depan anak-anak lebih terjamin,” katanya ketika ditemui selepas Program Women’s Voices, Women’s Choices: Cervical and Breast Cancer Awareness di Kampung Api-Api di sini, pada Isnin.

Iklan

Irmohizam memberitahu, masih ramai wanita teragak-agak untuk menjalani saringan kanser disebabkan kurang maklumat, rasa malu, kekangan masa atau percaya tanpa sejarah keluarga mereka tidak berisiko.

Beliau turut merujuk laporan Malaysia National Cancer Registry (MNCR) 2017 hingga 2021 yang menunjukkan 65.1 peratus kes kanser di negara ini dikesan pada peringkat lewat, selain peningkatan 15,200 kes baharu dicatatkan pada 2022 menjadikan kanser penyebab kematian ketiga tertinggi di negara ini.

Iklan

"Bagi wanita, kanser payudara kekal sebagai paling lazim iaitu 38.9 peratus daripada keseluruhan kes kanser wanita.

"Lebih membimbangkan, sekitar 50.5 peratus dikesan hanya pada tahap tiga dan empat," jelas beliau.

Irmohizam menjelaskan, walaupun insiden kanser pangkal rahim menunjukkan penurunan kepada 6.0 bagi setiap 100,000 wanita, namun penyakit itu masih wujud dan ramai hanya dikesan apabila sudah berada pada tahap lanjut.

Mengulas cabaran lain, beliau berkata, gaya hidup moden, tekanan hidup dan peningkatan penyakit tidak berjangkit turut menyebabkan wanita sering mengetepikan kesihatan sendiri demi keluarga.

Sementara itu, Pakar Sakit Puan Hospital Wanita Metro, Dr Magendra Ramalingam berkata, program itu bukan sekadar taklimat kesihatan semata-mata, sebaliknya permulaan gerakan kesedaran membawa mesej jelas mengenai pemeriksaan awal mampu menyelamatkan nyawa.

"Kita tekankan kepentingan Pap smear, ujian HPV, pemeriksaan payudara dan pemeriksaan klinikal berkala.

"Program ini bukan sahaja untuk mendidik, tetapi memberi inspirasi kepada individu dan keluarga dalam memberi keutamaan kepada kesihatan terutamanya dengan saringan Pap Smear pada harga RM50 sahaja," tambah beliau.