KOTA KINABALU – Kehadiran Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet Negeri disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperluas sokongan politik serta mengukuhkan blok pemerintahan, demi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk dengan lebih stabil dan berdaya mentadbir.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Bandau, Datu Farid Datu Liman berkata, keputusan tersebut perlu dilihat dalam konteks pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 daripada 73 kerusi, iaitu kurang daripada majoriti mudah sebanyak 37 kerusi.
Iklan
Iklan
“Dalam situasi ini, kehadiran BN dalam Kabinet Negeri dianggap sebagai salah satu cara untuk memperluas sokongan dan mengukuhkan blok pemerintahan agar dapat menubuhkan kerajaan yang stabil dan berdaya mentadbir,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Datu Farid yang juga Ahli Dewan Belia Sabah Bandau berkata, walaupun wujud kritikan dan penolakan daripada sesetengah pihak terhadap penyertaan BN, pilihan tersebut boleh dilihat sebagai langkah pragmatik demi memastikan negeri tidak terus terumbang-ambing serta pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Meskipun begitu, Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Bandau yang saya ketuai menyatakan pendirian tetap teguh bersama Presiden, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kami yakin dan percaya bahawa Presiden telah melakukan yang terbaik, dan inilah masanya untuk kita bekerja bagi memastikan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat Bandau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan Kabinet Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.